Bukan mudah serasi DNA Harimau Selatan, bintang Afrika dan Argentina sudah cukup jadi bukti


  • Podium
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Hakikatnya, tidak semua pemain berprofil tinggi mampu menjelmakan magis bersama JDT. — Gambar/JohorSouthernTigers

NAMA penyerang kebangsaan Sierra Leone, Alhaji Kamara mungkin tidak begitu segar dalam ingatan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) hari ini meskipun pernah menyarung jersi skuad Harimau Selatan hampir sedekad lalu.

Kamara hanya sempat beraksi dalam dua perlawanan pada 2015 ketika era jurulatih Bojan Hodak.

Sepanjang tempoh singkat itu, dia gagal menjaringkan sebarang gol, sebaliknya sekadar merekodkan satu bantuan jaringan ketika menentang kelab South China AA dari Hong Kong dalam saingan Piala AFC.

BACA LAGI: Tunggu masa debut, 3 ciri Tommy Mawat mungkin muncul 'duri dalam daging' di bumi Kenyalang

BACA LAGI: Usia 39 tahun bukan penghalang, bekas import Selangor hampiri perpindahan ke kelab Pantai Timur

Kamara hanya sempat beraksi dalam dua perlawanan ketika bersama JDT.

Pemain berketinggian 1.80 meter itu hadir dengan reputasi antarabangsa dan fizikal mantap, namun faktor penyesuaian diri terhadap corak permainan Liga Malaysia dilihat menjadi penghalang utamanya untuk menyerlah.

Tidak lama selepas itu, Kamara meninggalkan JDT sebelum meneruskan karier kembara di Amerika Syarikat, Arab Saudi, Moldova dan Denmark.

Sebelum Kamara, JDT juga pernah mencipta kejutan besar apabila berjaya membawa masuk bekas maestro Argentina, Pablo Aimar pada 2014.

Kehadiran bintang yang pernah mewarnai La Liga bersama Valencia dan Benfica itu mengangkat nama JDT ke peta bola sepak antarabangsa.

Namun, persinggahan Aimar hanya bertahan selama empat bulan. Masalah kecergasan serta kesukaran menyesuaikan diri menyebabkan dia sekadar beraksi dalam lapan perlawanan sebelum dilepaskan pada April tahun sama.

Kehadiran Pablo Aimar mengangkat nama JDT ke peta bola sepak antarabangsa.

Walaupun tidak memberi impak di padang, Pablo Aimar tetap meninggalkan kesan dari sudut pemasaran kerana kedatangannya membuka mata dunia terhadap keseriusan projek bola sepak Johor.

Situasi itu membuktikan JDT turut berdepan cabaran mendapatkan khidmat pemain berprofil tinggi yang hadir dengan reputasi besar, namun gagal memberikan impak di atas padang ekoran masalah kecergasan, taktikal serta kesukaran menyesuaikan diri dengan saingan Liga Malaysia.

Kehadiran bintang import seperti Kamara dan Pablo Aimar juga membuktikan bahawa reputasi semata-mata tidak menjamin kejayaan.

Akhirnya, hanya mereka yang benar-benar serasi dengan DNA Harimau Selatan mampu bertahan lama dan menjadi legenda di Larkin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram