
KEPUTUSAN Johor Darul Ta'zim (JDT) memanggil semula Manuel Hidalgo yang sebelum ini dipinjamkan ke Kuala Lumpur (KL) City FC mengundang persoalan peminat.
Ini kerana penyerang sayap tersebut sudah menyesuaikan diri dalam skuad Warga Kota apabila diturunkan sebanyak dua kali dengan satu gol sudah dicetak ketika berdepan Imigresen FC.
Namun, dengan keputusan mutlak berada di tangan JDT, Hidalgo, pihak pengurusan dan peminat KL City FC terpaksa terbuka hati dalam menerima perancangan tersebut.
BACA LAGI: Baru sempat turun 2 kali, Hidalgo kembali ke pangkuan JDT
BACA LAGI: Tak guna semua ‘ubi’ muda, Selangor letak 2 tonggak senior harung Liga A1
Tempoh pinjaman Hidalgo ke Lembah Klang dipendekkan selepas dipanggil kembali ke JDT.
Bagi penyokong JDT pula, mereka sudah tentu terbuka untuk menerima kepulangan pemain lincah dari Argentina itu kerana ia dapat menyediakan lebih banyak pilihan buat pengendali, Xisco Munoz.
Malah, kehadiran Hidalgo yang sudah cukup berpengalaman di pentas Liga Super boleh mengisi kekosongan yang mungkin ditinggalkan mana-mana pemain sekiranya isu kecederaan melanda.
Ini termasuk pemain dari Perancis, Enzo Lombardo yang baru-baru ini kelihatan bergelut ketika aksi Piala FA berdepan UM-Damansara United di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu lalu.
Dia yang dimasukkan pada masa kedua terpaksa diberi rawatan di atas padang, namun tidak dipastikan keadaannya kerana tiada sebarang perkembangan dikongsikan pihak pengurusan dan kejurulatihan kelab.
Bagaimanapun, nasib dialaminya akhirnya terjawab selepas baru-baru ini, Enzo Lombardo memuat naik hantaran di laman Instagram peribadinya yang memetik sebahagian dari ayat ke-286 surah Al-Baqarah bermaksud 'ALLAH tidak akan membebani seseorang di luar kemampuannya'.
Lombardo memberi bayangan mengenai nasib dialaminya selepas perlawanan baru-baru ini.
"Saya akan kembali dengan lebih kuat daripada sebelum ini," tulisnya ringkas di ruangan kapsyen.
Meskipun tidak menceritakan secara lanjut, hantaran berkenaan sudah cukup untuk mengatakan pemain sayap berkenaan terus bergelut untuk mencapai tahap kecergasan terbaik.
Dalam musim pertama bersama skuad Harimau Selatan, Lombardo hanya sempat diturunkan sebanyak tiga kali sebelum kecederaan melanda yang kemudian menyaksikannya disisihkan daripada pasukan utama.
Isu sama kelihatan berulang dengan kehilangannya perlu diisi mana-mana pemain lain, termasuk Hidalgo yang sudah tentu dipanggil semula untuk menggantikan rakan sepasukannya yang cedera itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram