Ubai tahu kualiti lawan, sedia rantai bintang Portugal-Indonesia


  • Podium
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Skuad Sang Penyu dilihat bersedia sepenuhnya untuk mencuri tiga mata di gelanggang lawan dalam aksi bertemu DPMM FC saingan Liga Super pada Jumaat. — Facebook/TFC

PEMAIN pertahanan muda Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili bersedia berdepan cabaran getir apabila Sang Penyu bakal turun menentang DPMM FC dalam saingan Liga Super 2025/26 yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei pada Jumaat.

Bek berusia 21 tahun itu sedar akan ancaman besar daripada dua tonggak serangan DPMM FC, Miguel Oliveira dari Portugal dan penyerang Indonesia, Ramadhan Sananta yang mampu menghukum sebarang kecuaian di barisan pertahanan Terengganu.

“Sebagai pemain pertahanan, saya tahu Oliveira dan Ramadhan mempunyai kualiti tersendiri.

BACA LAGI: Gaji tak dibayar kelab Lembah Klang, bekas kapten Kedah antara pemain buat laporan polis

BACA LAGI: Baru sempat turun 2 kali, Hidalgo kembali ke pangkuan JDT

“Mereka pemain yang kuat, dan kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka. Kekalahan kepada pasukan Imigresen sebelum ini mengingatkan kami supaya tidak mengambil mudah mana-mana perlawanan," katanya.

Skuad Sang Penyu sebelum ini tewas 1-2 kepada Imigresen FC dalam saingan Piala FA, kekalahan yang menjadi peringatan agar pasukan memperbaiki disiplin taktikal serta ketajaman di bahagian pertahanan.

Tonggak pertahanan Sang Penyu, Ubaidullah. — Facebook/TFC

Bagaimanapun, dalam saingan Liga Super, Terengganu bermula cemerlang dengan kemenangan 3-0 ke atas Penang FC sebelum seri 2-2 menentang PDRM FC pada Rabu minggu lalu.

Wakil kelab dari Brunei itu pula masih memburu kemenangan pertama mereka dalam saingan Liga Super selepas seri 2-2 menentang PDRM FC dalam aksi pembukaan dan tewas 0-3 kepada Selangor FC dalam perlawanan kedua liga.

Ubaidullah mengakui Brunei akan tampil dengan semangat tinggi untuk mencari kemenangan sulung, namun menegaskan Terengganu perlu kekal fokus dengan corak permainan mereka sendiri.

“Kami gagal menyempurnakan peluang ketika menentang Imigresen, dan pertahanan kami juga tidak cukup mantap. Itu adalah aspek yang perlu kami baiki.

“Selepas tiga perlawanan musim ini, saya masih mencari konsistensi dalam permainan dan berusaha memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Selepas perlawanan menentang DPMM FC, Terengganu dijadual bertemu Selangor FC dalam aksi seterusnya pada Rabu (27 Ogos), manakala Brunei akan kembali beraksi dalam saingan Piala FA menentang Kuching City FC pada 14 September. — The Star/S.SAKTESH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram