
SELEPAS mengalami kekalahan dalam aksi pembukaan Liga Malaysia 2025/26 berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC sudah bangkit dalam dua perlawanan seterusnya.
Kebangkitan itu dimulakan dengan kemenangan 3-0 ke atas DPMM FC di laman sendiri sebelum rentak tersebut diteruskan ketika berdepan kelab Liga A1 Semi Pro, Malaysian University FT dalam aksi Piala FA.
Dua keputusan itu sudah tentu menyuntik keyakinan dalam anak-anak buah Katsuhito Kinoshi yang perlu kekal konsisten sekiranya mahu merebut tiket ke pentas Asia untuk musim akan datang.
BACA LAGI: Terima manfaat fasiliti lengkap JDT, Baim masih perlu minit kompetitif — Asmawi Bakiri
BACA LAGI: Ketiadaan KL City FC, KDA FC buat Liga M hambar, rencat perancangan bola sepak
JDT juga gagal melepasi ujian Buriram United ketika mereka bertemu di pentas ACL Elite musim lalu.
Bagaimanapun, ujian sebenar terus menanti skuad Gergasi Merah kerana kelab Lembah Klang itu akan berkelana ke Thailand untuk menentang Buriram United pada Khamis.
Pertembungan bagi aksi Piala Shopee itu cukup mendebarkan buat wakil negara itu memandangkan lawan mereka tersebut boleh diangkat sebagai pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara.
Gelaran tersebut sesuai diberikan selepas mereka menundukkan JDT di pusingan 16 pasukan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite 2024/25, sekali gus menjadikan skuad bimbingan Osmar Loss itu sebagai wakil tunggal dari Asia Tenggara di peringkat suku akhir kejohanan.
Jadi, sekiranya Selangor FC perlu menampilkan persembahan terbaik untuk membawa pulang mata penuh dari Thailand yang akan memastikan mereka memulakan kempen dengan langkah kanan.
Namun, andai kata skuad Gergasi Merah berjaya berbuat demikian, ia akan menjadi kemenangan cukup bermakna dengan keputusan berkenaan dapat mendefinasikan seluruh musim seperti mana dinyatakan legenda kelab, Asmawi Bakiri.
Buriram United menutup kempen musim lalu sebagai juara Piala Shopee. — Facebook/Buriram United
"Gambaran awal boleh saya berikan jika Selangor FC dapat tundukkan Buriram United, saya rasa kemenangan itu akan diperkatakan sepanjang musim. Cuma, daripada tiga perlawanan setakat ini, ia tidak menceritakan kekuatan sebenar pasukan.
"Kita boleh katakan aksi berdepan JDT sahaja sebagai kayu ukur sebenar, tetapi tidaklah saya memperkecilkan DPMM FC dan Malaysian University. Tetapi, ia wajar dianggap sebagai persiapan terbaik buat Selangor FC kerana memberi momentum baik," katanya kepada Majoriti.
Musim lalu, Buriram United menjulang Piala Shopee selepas menundukkan CAHN FC dari Vietnam untuk menghadiahkan trofi keempat kelab Thailand tersebut sepanjang kempen.
Kejuaraan tersebut sudah tentu ingin dikekalkan pasukan terbabit, namun mereka menyedari ancaman besar dari Selangor FC dan JDT yang pertama kali menyertainya.
Asmawi mahu melihat percaturan bakal diterapkan Kinoshi dalam perlawanan di Thailand itu nanti.
Jelas Asmawi lagi, kemenangan pasti dianggap pencapaian cukup hebat buat skuad Gergasi Merah, namun keputusan seri sudah memadai melihat kepada jurang kedua-dua pasukan.
"Pada saya, Selangor perlu ada pelan tersendiri untuk curi satu mata, tetapi kemenangan itu satu bonus. Namun, keputusan itu belum cukup kerana percaturan pasukan lebih menjadi tumpuan," katanya lagi.
Selepas aksi menentang Buriram United, Selangor FC akan bertemu Tampines Rovers dari Singapura dan kelab Filipina, Dynamic Herb Cebu sebelum kembali meneruskan saingan tahun depan.
Pasukan itu akan menerima cabaran CAHN FC (Vietnam) serta BG Pathum United (Thailand) dengan kesemua perlawanan perlu meraih mata penuh jika Selangor FC mahu meneruskan kemaraan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram