Rupa bentuk masih tak berubah, burger stadium ceritakan suasana bola sepak negara


  • Podium
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Burger yang dibeli di Stadium Sultan Muhammad ke-IV kelihatan cukup mengecewakan.

SITUASI bola sepak negara masih tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara kerana setiap isu yang berlaku tidak pernah diselesaikan sehingga ia berulang saban tahun.

Masalah besar seperti mutu padang, penjualan barangan cetak rompak dan penstriman haram merupakan antara contoh terbaik kerana tiada jalan penyelesaian efektif cuba diambil.

Jika gagal dibendung, kemeriahan peminat yang dahulunya tidak putus memberi sokongan juga akan terjejas kerana masing-masing mengharapkan kualiti terbaik dapat disajikan.

BACA LAGI: Banyak kekangan kos, GTR Burger sedia perbaiki kualiti, tawar harga murah kepada pengadu

BACA LAGI: Hanya kerana posting FB, 2 gergasi Liga Super hampir dapat tajaan syarikat tempatan

Kelantan TRW meraih kemenangan dalam pertembungan Piala FA ketika berdepan KL City FC.

Namun, melihat kepada situasi semasa, sukar untuk orang ramai melihat hal sedemikian diselesaikan memandangkan isu-isu kecil juga tidak pernah dikendalikan dengan baik.

Ini termasuk mutu makanan dihidangkan pada hari perlawanan yang sekali lagi menjadi buah mulut peminat ketika aksi melibatkan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Isnin.

Aksi yang berkesudahan dengan kemenangan 3-1 buat skuad kendalian E Elavarasan itu sememangnya memberi kegembiraan buat penyokong bola sepak di negeri Pantai Timur tersebut.

Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan itu, terpalit sedikit rasa kecewa dalam kalangan ratusan penonton di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan yang kurang berpuas hati dengan mutu makanan dijual.

Perasaan tersebut diluahkan menerusi hantaran di laman Facebook KelantanFA.com mengatakan perbelanjaan mencecah RM29 dibuat seperti tidak berbaloi, lebih-lebih lagi kerana kualiti burger dibeli cukup mengecewakan.

Dalam hantaran berbeza, seorang peminat lain menghadapi masalah sama apabila kepingan daging dalam makanan segera itu tidak dimasak dengan sempurna dan perasa disertakan tidak mencukupi.

Isu berhubung mutu makanan bukanlah sesuatu perkara baharu kerana peminat kerap dikecewakan dengan mutu penjualan sehingga ada sanggup membawanya masuk meskipun melanggar peraturan ditetapkan.

Lebih teruk lagi, terdapat risiko keracunan sekiranya tidak disediakan mengikut prosedur kesihatan dengan pihak kelab sudah tentu enggan bertanggungjawab sekiranya aduan dibuat.

Situasi berkenaan menceritakan suasana bola sepak negara sukar berubah kerana kegagalan mengatasi perkara berbangkit berkaitan makanan membuatkan kemelut besar lebih sukar dikendalikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram