'Impak segera', Safawi dan bintang Kuching City-JDT terus menggegar bersama bos baharu


  • Podium
  • Isnin, 11 Ogos 2025

Ronald Ngah (kiri) dan Jairo (kanan) memberikan impak segera bersama kelab baharu mereka.

LIGA Super sudah memulakan musim baharunya dengan lima perlawanan sudah diadakan setakat Sabtu.

Dalam lima aksi tersebut, kita dapat saksikan beberapa detik menarik terutamanya beberapa nama yang terus memberikan impak segera pada penampilan pertamanya untuk kelab baharu.

Dari pemain berpengalaman Harimau Malaya kepada bekas bintang import, mereka berjaya mencuri hati penyokong dengan kualiti penyudah tajam.

BACA LAGI: Suram semusim, 3 bintang Liga Super dijangka lebih bersinar 2025/26

BACA LAGI: Barisan serangan sudah 'upgrade', Penang ada ramuan jadi ‘suprise package’ Liga Super

Safawi Rasid

Tanpa perlu menunggu panjang, Safawi Rasid terus memberikan impaknya bersama kelab baharunya iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC.

Dalam aksi bertemua Imigresen FC di Stadium Negeri, Batu Kawan, Safawi menjadi antara penjaring skuad Warga Kota dalam kemenangan 3-0 diraih mereka.

Safawi menanduk masuk bola sepakan percuma dari hantaran Manuel Hidalgo untuk membolehkan mereka mendahului 2-0 selepas gol sendiri oleh Rizal Ghazali.

Ia adalah gol pertama Safawi untuk KL City selepas meninggalkan Terengganu FC musim lalu.

Ronald Ngah Wanja

Penyerang baharu Kuching City FC itu pulang semula ke Liga Super selepas beraksi untuk Kedah Darul Aman FC (KDA) pada 2022.

Wanja kembali dengan impak segera apabila berjaya menjaringkan gol ketika Kuching City menang 4-0 menewaskan Kelantan The Real Warriors (KTRW) di laman sendiri.

Bukan satu, tapi dua jaringan dihasilkan oleh Wanja dengan itu membuatkan pemain tersebut menjadi satu-satunya pemain mempunyai jaringan lebih daripada satu selepas minggu pertama perlawanan.

Sumbangan Wanja itu juga berjaya membuatkan Kuching City memintas Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk menjadi pendahulu Liga Super.

Jairo da Silva

Satu lagi pemain yang memberikan impak segera adalah penyerang baharu JDT dari Brazil iaitu Jairo da Silva.

Lebih mesra sebagai Jairo, impak segera pemain itu benar-benar pantas apabila tidak mengambil masa lama untuk menggegar pintu gol Selangor FC semasa perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Jairo menghasilkan gol pertama JDT musim ini dengan penyudah jarak dekat pada minit pertama perlawanan sekali gus menjadikan ia gol terpantas liga musim ini.

Ia menyamai rekod yang pernah dilakukan oleh pemain KDA, Syafiq Ahmad ketika dia merobek gawang PDRM FC pada aksi pertama liga musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram