'Game comel doh', legenda Kelantan seru fans penuhkan stadium demi gaji pemain 


  • Podium
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Sebahagian pemain Kelantan TRW ketika meraikan jaringan gol Ifedayo. — Facebook/Kelantan TRW

KELANTAN The Real Warriors (Kelantan TRW) menunjukkan kekuatan di laman sendiri selepas mengatasi Kuala Lumpul City FC (KL City) 3-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Isnin. 

Pasukan tuan rumah mendahului 1-0 hasil jaringan ketua pasukan, Ifedayo Olusegun pada minit kelima, sebelum meletakkan pasukan tersebut selesa di depan apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-17.

Skuad kendalian E. Elavarasan melebarkan kedudukan selepas penyerang tempatan, Sean Selvaraj meledak gol ketiga pada minit ke-65, sebelum KL City memperoleh gol sagu hati menerusi Syamer Kutty Abba pada minit ke-86.

BACA LAGI: Ghaddar ‘sindir’ Kelantan TRW lepas import dicadang dahulu katanya tak cukup hebat

BACA LAGI: 'Mungkin setahun, 2 lagi', bekas orang kuat Kelantan tak tolak kepulangan Apek ke Pantai Timur

Kejayaan berkenaan jelas memberi suntikan moral besar buat pemain dan penyokong, sekali gus mengangkat keyakinan bahawa Kelantan TRW mampu melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kemenangan pertama itu juga mencuri perhatian legenda bola sepak Kelantan, Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya, selain dia turut memuji sokongan padu daripada penyokong negerinya.

Badhri yang pernah dikenali sebagai 'Captain Marvel' turut menyeru agar sokongan yang diberikan penyokong itu terus konsisten berikutan ia merupakan alat terbaik untuk mengukuhkan kestabilan pasukan.

"Pasukan memerlukan dana dari penyokong untuk bergerak maju terus ke depan untuk bayaran gaji. Moga maju jaya tahniah. Kasi full house game. Comel doh," katanya menerusi laman Facebook miliknya pada Isnin. 

Selepas meninggalkan Kelantan FC pada 2018, Badhri pernah menyertai Perlis dan Kelantan United untuk beberapa musim sebelum menamatkan kariernya pada 2020.

Meskipun kurang meraih peluang bersama skuad kebangsaan, status serta legasinya buat penyokong skuad TRW pastinya sukar dipadam melihat kepada sumbangannya sepanjang kira-kira 10 tahun.

Peringatan dari Badhri itu disebabkan pengalaman-pengalaman lepas yang menyaksikan Kelantan tidak dapat lari daripada masalah kewangan hingga menjejaskan reputasi atas padang mereka. 

Musim lepas menyaksikan pasukan yang dikenali sebagai Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) itu terpalit dengan isu tunggakan gaji sehingga melambatkan proses kelulusan penuh Lesen Kebangsaan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram