
SAINGAN Liga Malaysia musim 2025/2026 membuka tirainya dengan beberapa pembaharuan menarik, termasuk fenomena kelab-kelab tempatan berkongsi gelanggang sebagai 'home' masing-masing.
Dalam suasana bola sepak tempatan yang terus berkembang, isu kekurangan fasiliti dan stadium yang memenuhi piawaian liga profesional dikatakan telah memaksa beberapa kelab dari divisyen berbeza berkongsi stadium, sesuatu yang jarang berlaku sebelum ini.
Walaupun tampak janggal, langkah tersebut memberi cabaran baharu kepada pengurusan stadium, penyokong dan juga kelab yang terlibat.
Perkongsian stadium menuntut pengurusan jadual yang teliti agar tiada pertindihan perlawanan, selain memastikan keadaan padang sentiasa berada dalam keadaan baik.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga lokasi utama yang menyaksikan fenomena ‘kongsi stadium’ dalam saingan Liga Malaysia kali ini.
1. Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi
Stadium berkapasiti kira-kira 45,000 tempat duduk ini menjadi gelanggang rasmi buat Negeri Sembilan FC (Liga Super) dan Bunga Raya FC (Liga A1 Semi Pro).
Meskipun Bunga Raya FC turut menjadikan Arena IRC, Sendayan sebagai lokasi alternatif, Stadium Paroi kekal sebagai pentas utama kedua-dua kelab menyambut lawan masing-masing.
Bunga Raya FC turut beraksi di Stadium Paroi. — Facebook/Bunga Raya FC
Perkongsian itu dijangka tidak menimbulkan isu besar, namun pengurusan jadual perlu disusun rapi bagi mengelak pertindihan tarikh perlawanan dan memastikan keselesaan pasukan serta penyokong.
Bunga Raya secara rasminya menggunakan Stadium Paroi dalam kemenangan tipis 1-0 ketika bertemu Kedah Darul Aman FC pada Ahad (10 Ogos).
2. Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu
Stadium bersejarah di Kota Bharu ini menjadi tumpuan utama musim ini apabila tiga pasukan dari Kelantan berkongsi satu gelanggang dalam saingan Liga Malaysia.
Kelab Liga Super, Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) serta dua pasukan Liga A1, Kelantan Red Warrior dan Kelantan WTS, semuanya menjadikan stadium ini sebagai gelanggang rasmi.
Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu menyaksikan tiga wakil daripada negeri itu akan beraksi di venue yang sama. — Facebook/Wan Tendong Stable FC
Kehadiran tiga pasukan dari satu negeri pastinya menghangatkan suasana bola sepak di Kota Bharu, di samping menjanjikan peningkatan kehadiran penyokong yang rindu menyaksikan aksi di pentas domestik.
Walau bagaimanapun, seperti kes lain, faktor penjadualan menjadi aspek kritikal yang perlu dipantau oleh pihak pengurusan stadium dan kelab terlibat.
3. Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor
Stadium yang sinonim dengan aksi kelab PDRM FC (Liga Super) kini turut menjadi gelanggang pilihan Selangor FC II, wakil dari Liga A1 Semi Pro.
Selangor FC II juga menjadikan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai lokasi alternatif, namun Stadium Selayang dijangka menjadi antara venue utama mereka dalam beberapa perlawanan penting musim ini.
Selain beraksi di Stadium MBPJ, Selangor FC II juga dikatakan bakal beraksi di Stadium Selayang. — Facebook/Selangorfc
Perkongsian itu sekali lagi menguji kecekapan pengurusan logistik serta fasiliti, namun juga membuka peluang kepada peminat bola sepak sekitar Lembah Klang untuk menyaksikan lebih banyak perlawanan kompetitif secara langsung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram