'Mungkin setahun, 2 lagi', bekas orang kuat Kelantan tak tolak kepulangan Apek ke Pantai Timur


  • Podium
  • Sabtu, 16 Ogos 2025

Khairul Fahmi beraksi dengan cemerlang sepanjang bertahun-tahun berada di negeri kelahirannya itu.

KEMERIAHAN bola sepak di Kelantan kembali musim ini selepas tiga pasukan disahkan bersaing dalam dua kejohanan tertinggi negara, iaitu Liga Super dan Liga A1 Semi Pro.

Kelantan The Real Warriors (TRW) FC merupakan satu-satunya wakil di pentas Liga Siper sementara Kelantan Red Warriors (KRW) FC dan Kelantan Wan Tendong Stable (WTS) bersaing dalam kejohanan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL).

Penyertaan ketiga-tiga kelab tersebut dicerminkan menerusi aktiviti sibuk sepanjang jendela perpindahan dengan masing-masing sanggup melabur lebih besar demi menghidupkan semula zaman kegemilangan bola sepak di negeri terbabit,

BACA LAGI: Puji duo import baharu cepat serasi, Apek ada mesej penting buat fans The Rhinos

BACA LAGI: [VIDEO] Apek teruja bola sepak Kelantan kembali meriah, serahkan masa depan kepada pengurusan Sabah

KRW FC merupakan salah sebuah kelab berpangkalan di Kelantan yang beraksi musim ini. Facebook/KRW FC

Namun, apa yang menarik adalah kerana terdapat persamaan antara kesemua pasukan berkenaan kerana mereka cukup tertarik dalam membawa masuk anak jati Kelantan ke dalam skuad masing-masing.

Pemain seperti Faiz Nasir, Muhaimin Izzudin serta Norshahrul Idlan Talaha merupakan antara nama-nama yang kembali berbakti di negeri Pantai Timur itu bersama kelab masing-masing.

Bagaimanapun, dalam satu pendedahan terbaru, terdapat hasrat untuk membawa pulang ikon bola sepak Kelantan, iaitu Khairul Fahmi Che Mat pada jendela perpindahan lalu.

Perkara itu didedahkan bekas Presiden KRW FC, Nik Hafiz Naim Nik Hassan menerusi satu hantaran ringkas di laman Facebook dengan menyatakan cita-cita tersebut tidak kesampaian kerana dia masih mempunyai kontrak bersama kelab semasanya.

"Sebelum ini, ada ajak Apek (Khairul Fahmi) balik, tapi Apek masih ada kontrak dengan Sabah. Mungkin satu atau dua tahun lagi Apek boleh balik ke Kelantan," tulisnya.

Bekas penjaga gawang negara itu merupakan nama yang dikenali di Pantai Timur selepas menjadi salah seorang tonggak ketika Kelantan menjadi kuasa besar bola sepak tanah air.

Selepas bertahun-tahun beraksi di negeri kelahirannya, Khairul Fahmi kemudian berkelana ke Melaka United dan akhirnya menyertai Sabah FC pada 2021 dengan dia membantu pasukan tersebut kembali digeruni.

Meskipun tidak pernah menjulang sebarang trofi sepanjang kira-kira tiga musim di Borneo tanah air, pemain berusia 36 tahun berkenaan berjaya membantu pasukannya menamatkan penantian ke pentas Asia selepas layak ke Piala AFC 2023.

Nik Hafiz sebelum ini merupakan antara individu yang cukup bersemangat untuk mengembalikan zaman kegemilangan di negeri tersebut apabila menubuhkan Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK).

Pertubuhan itu turut dibarisi bekas pemegang saham Kelantan FC yang kemudiannya menubuhkan KRW FC dengan pasukan itu akan menyertai Liga A1 Semi Pro 2025/26.

Bagaimanapun, konflik pengurusan menyaksikan Nik Hafiz terpaksa mengundur diri daripada tampuk kepimpinan kelab dengan pengaruhnya difahamkan masih diperlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram