YCL idam taktikal lebih baik di Gong Badak, DPMM tunggu kejutan Aidil Sharin


  • Podium
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Imigresen atasi cabaran Terengganu di laman sendiri (kiri) dan DPMM FC menang 3-2 di laman sendiri.

KETUA jurulatih Imigresen FC, Yusri Che Lah anggap kemenangan tipis 2-1 ke atas Terengganu FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA pada Ahad di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang sedikit sebanyak beri motivasi selepas mereka bergelut dalam dua perlawanan terdahulu.

Tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur (KL) City dan seri 1-1 menentang Kelantan The Real Warrios (Kelantan TRW) dalam dua aksi Liga Super sebelum ini bukanlah satu keputusan yang diinginkan oleh Yusri untuk anak buahnya.

Namun, berjaya meraih kemenangan ke atas skuad kendalian Badrul Afzan Razali membuktikan perancangannya berhasil untuk barisan pemain bijak menguasai perlawanan meskipun Terengganu tidak beri laluan mudah.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak mustahil berulang, 3 kelab 'underdog' pernah cipta kejutan di pentas awal Piala FA

BACA LAGI: Semifinalis Piala FA: Akmal Rizal tak rasa ada kejutan awal

Bagi Yusri, Terengganu pastinya akan lebih banyak menyerang untuk aksi timbal balik di laman sendiri pada 13 September depan dan Imigresen perlu hadir dengan taktikal yang lebih berbeza dalam misi merebut slot suku akhir.

"Syukur Alhamdulillah meskipun kita berdepan jalan yang sukar dalam perlawanan tadi (Ahad), tetapi sekurang-kurangnya ini kemenangan pertama kita musim ini.

"Apa pun, biarlah kemenangan ini beri keyakinan kepada pemain-pemain saya dan kelebihan kita hanya satu gol sahaja sebelum kita ke gelanggang lawan.

"Sudah tentu lawan mesti akan cuba lebih banyak menyerang untuk aksi timbal balik dan saya perlu hadir dengan corak permainan yang lebih baik bagi pemain-pemain berdepan situasi itu," jelasnya memetik laporan dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). 

Dalam satu lagi perlawanan yang mencuri tumpuan adalah kemenangan DPMM FC ke atas Kucing City FC dengan keputusan 3-2 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei pada Sabtu. 

Pengendali DPMM FC, James Reynolds bagaimanapun memberi bayangan aksi timbal balik yang lebih sukar akan dihadapi mereka kerana skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak nyata mempunyai kualiti tersendiri yang boleh mengubah keputusan di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pula nanti.

"Karakter yang bagus ditampilkan oleh barisan pemain saya tetapi kami tidak mahu terbawa-bawa dengan keputusan ini sebab apa sahaja boleh berlaku di gelanggang lawan nanti.

"Kuching pula bermain dengan penuh semangat dan apabila mendapat sokongan kuat daripada penyokong mereka juga, itu yang bagi tenaga tambahan untuk mereka beri tentangan kepada kami," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram