Banyak berubah, aura 2024 perlu dihidupkan Selangor FC jika mahu 3 mata berdepan DPMM


  • Podium
  • Selasa, 12 Ogos 2025

DPMM FC menjadi lawan skuad Gergasi Merah dalam aksi Piala SAC 2024 di Stadium MBPJ. — Facebook/Selangor FC

KEKALAHAN 0-3 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pertembungan Piala Sumbangsih dan pembukaan Liga Super 2025/26 merencatkan harapan Selangor FC untuk menampilkan persembahan berbeza musim ini.

Ini kerana keputusan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu meletakkan pasukan kendalian Katsuhito Kinoshi di tangga kedua tercorot, hanya di atas Kelantan The Real Warriors (TRW) FC menerusi perbezaan jaringan.

Jadi, dalam usaha meletakkan semula gergasi bola sepak tanah air itu di landasan, jurulatih dari Jepun tersebut perlu memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka dalam aksi-aksi akan datang.

BACA LAGI: Selesai 2 minggu 'trial' bersama DPMM, bekas bintang Penang mungkin kembali ke luar negara

BACA LAGI: Tanggung kos kelab ke Brunei, pelaburan DPMM FC buktikan kesungguhan saingi JDT

Skuad Gergasi Merah perlu bangkit susulan kekalahan mengecewakan kepada JDT. Facebook/Selangor FC

Peluang besar terhidang buat pasukan Lembah Klang tersebut kerana mereka akan berdepan DPMM FC dalam perlawanan selepas ini yang dijadualkan berlangsung pada Selasa.

Kelebihan kelihatan berpihak kepada skuad Gergasi Merah memandangkan pasukan jemputan itu gagal memulakan kempen kali ini dengan langkah kanan selepas hanya mencatatkan keputusan seri 2-2 ketika berdepan PDRM FC di tempat lawan.

Tidak cukup dengan itu, perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor itu sekali gus menjadikan pasukan kendalian Kinoshi sebagai tuan rumah.

Kedua-dua kelebihan berkenaan sepatutnya cukup untuk menjadikan naib juara Liga Super 2024/25 itu sebagai pilihan utama untuk membawa pulang kemenangan pertama musim ini.

Malah, Selangor FC juga kelihatan amat mengenali kelemahan dan kelebihan DPMM FC kerana mereka pernah bertembung di stadium tersebut dalam tempoh pramusim tahun lalu.

Faisal Halim masih berada dalam kesihatan terbaik ketika kali terakhir berdepan DPMM FC. Facebook/Selangor FC

Ketika itu, skuad Gergasi Merah menganjurkan Piala Cabaran Asia Selangor (SAC) yang turut disertai Balestier Khalsa FC dari Singapura serta wakil Laos, Young Elephants FC.

Perlawanan yang berlangsung pada 26 April 2024 berkenaan menyaksikan Selangor FC tidak berdepan sebarang masalah untuk menumpaskan DPMM FC menerusi keputusan 4-0 dengan Noor al-Rawabdeh serta Alvin Fortes masing-masing meledak dua gol.

Bagaimanapun, untuk melihat keputusan sedemikian berulang, ia sudah tentu sukar kerana landskap kedua-dua kelab itu menyaksikan pelbagai perbezaan, baik dari segi pengurusan mahupun barisan pemain.

Perubahan utama adalah mengenai keadaan bintang Gergasi Merah, Faisal Halim memandangkan aksi persahabatan berkenaan dianjurkan hanya beberapa minggu sebelum dia menjadi mangsa simbahan asid.

Meskipun dia sudah kembali di atas padang, kelincahan dan sentuhannya jelas berbeza dengan dia masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kesihatan semasanya.

DPMM FC membuka tirai Liga Super 2025/26 dengan keputusan seri ketika berdepan PDRM FC. Facebook/MFL

Barisan kejurulatihan Selangor FC turut berubah kerana ketika itu, mereka dikendalikan Nidzam Jamil yang digugurkan kira-kira enam bulan kemudian sebelum digantikan Kinoshi.

Bagi DPMM FC pula, perubahan utama dapat disaksikan terhadap pasukan berkenaan secara keseluruhan kerana ketika itu, mereka tidak mempunyai mana-mana pemain yang beraksi dalam Liga Super.

Syafiq Ahmad, Fairuz Zakaria serta Tommy Mawat Bada merupakan antara nama yang menjadi perbezaan dengan kehadiran bintang tempatan itu masih belum cukup untuk menyuntik nafas baharu buat kelab Brunei terbabit.

Namun, jika mereka dapat mencetus kejutan di Stadium MBPJ pada Selasa, tidak mustahil sekiranya peminat bola sepak lokal akan meletakkan DPMM FC di tahap lebih tinggi sepanjang musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram