Ibu bapa mangsa buli boleh ambil tindakan sivil jika pelaku masih di bawah umur — Peguam


  • Massa
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Ahmad Shamil (gambar kecil) menjelaskan bahawa walaupun pembuli masih di bawah umur, ibu bapa mangsa masih boleh mengambil tindakan undang-undang.

KES buli dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan apabila bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal, malah turut menjejaskan emosi dan perkembangan akademik mangsa.

Terbaharu, media melaporkan seorang murid Tahun Empat sebuah sekolah agama di Skudai, Johor terpaksa dimasukkan ke hospital pada Isnin lalu selepas dipercayai menjadi mangsa buli sehingga mengalami gegaran otak.

Lebih mengejutkan, mangsa, Izzul Islam Azuan Isaidi yang juga pesakit kanser hidung Adenoid Cystic Carcinoma (ACC), pernah dibuli sebelum ini oleh seorang murid Tahun Enam di sekolah sama pada 21 Februari lalu.

BACA LAGI: Beberapa suspek kes Zara Qairina akan didakwa membuli — Jabatan Peguam Negara

BACA LAGI: Kes Zara: KDN sahkan ada elemen buli, gangguan seksual dan pengabaian

Ibunya, Siti Suhana Misdi mendakwa anaknya dipukul di belakang tandas sekolah, ditendang, dihentak kepala kiri dan kanan, malah dipaksa berbogel di hadapan rakan sebaya.

“Sejak kejadian itu, anak saya sering sakit kepala, tubuhnya menjadi lemah dan prestasi pelajaran menurun.

"Doktor maklumkan proses pemulihan mungkin ambil masa tiga tahun. Malah, dia berisiko sawan sekiranya jatuh atau pengsan,” katanya.

Izzul Islam terpaksa dimasukkan ke hospital pada Isnin lalu selepas dipercayai menjadi mangsa buli sehingga mengalami gegaran otak. — Gambar/Orang Awam

Siti Suhana turut meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa pelaku terlepas tindakan undang-undang kerana masih di bawah umur.

Kes itu menimbulkan amarah terhadap pelaku kerana bebas begitu sahaja tanpa hukuman, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keadilan untuk mangsa dan keluarganya.

Ibu bapa mangsa boleh ambil tindakan sivil

Diminta mengulas kes tersebut, peguam jenayah, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid menjelaskan bahawa walaupun pelaku masih di bawah umur, ibu bapa mangsa masih boleh mengambil tindakan undang-undang yang lain.

"Ibu bapa kepada mangsa buli boleh mengambil tindakan saman sivil terhadap pelaku, dan secara lazimnya, ibu bapa pelaku akan dijadikan pihak yang disaman, memandangakan pelaku masih lagi dibawah umur.

"Ini selaras dengan tanggungjawab seorang ibu bapa terhadap perilaku anak mereka dan selanjutnya membenarkan peluang untuk keluarga mangsa menuntut ganti rugi akibat kecederaan fizikal, tekanan emosi dan kerugian lain.

“Ini selaras dengan tanggungjawab ibu bapa terhadap tingkah laku anak mereka,” katanya kepada Majoriti.

Peguam Jenayah, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid

Menurut beliau, undang-undang Malaysia menetapkan kanak-kanak bawah 10 tahun tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kesalahan jenayah.

“Namun, bagi pelaku berusia 10 tahun ke atas, mahkamah boleh mengenakan hukuman alternatif seperti bon berkelakuan baik, penempatan di Sekolah Tunas Bakti atau Sekolah Henry Gurney.

“Kanak-kanak berusia 14 tahun ke atas pula boleh dikenakan hukuman penjara jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Ahmad Shamil turut memaklumkan Seksyen 32(1)(c) Akta Kanak-Kanak memperuntukkan tindakan terhadap penjaga atau ibu bapa yang gagal mengawal anak sehingga terlibat dalam jenayah.

Aduan awal selalu tidak diendahkan

Isu buli kerap berlarutan kerana aduan awal tidak diambil serius. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

Dalam pada itu, beliau berpandangan isu buli kerap berlarutan kerana aduan awal tidak diambil serius.

“Banyak kes kita lihat, aduan awal telah dibuat tetapi tidak diendahkan. Mangsa akhirnya berasa tiada pembelaan, manakala pelaku pula semakin berani dan seolah-olah kebal daripada tindakan,” katanya.

Menurut beliau, pencegahan perlu bermula dari rumah dan diperkukuh di sekolah tanpa sebarang kompromi.

“Setiap aduan mesti diambil serius. Mangsa perlu dilindungi dan pelaku mesti dihukum supaya mereka sedar setiap tindakan ada akibat.

“Undang-undang hanya bertindak selepas kejadian berlaku, tetapi ketika itu mungkin sudah terlambat untuk mangsa,” tegasnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram