Tanpa khabar berita sejak 9 hari lalu, ibu bapa pemuda OKU ADHD makin resah kenangkan nasib Aliff Syazwan


  • Massa
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Muhammad Aliff kali terakhir dilihat killarneys ketika keluar dari rumah untuk menunaikan solat Subuh di sebuah masjid berhampiran rumahnya di Taman Impian Jalan Sungai Lembing dekat Kuantan

 

 

KEHILANGAN seorang pemuda sejak sembilan hari lalu menimbulkan kebimbangan besar kepada keluarga yang kini giat berusaha menjejakinya termasuk dengan bantuan orang ramai melalui media sosial.

Mangsa, Muhammad Aliff Syazwan Mohd Nizam, 23, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ADHD (pembelajaran) dilaporkan tidak pulang selepas dipercayai keluar menunaikan solat Subuh di sebuah masjid berhampiran rumahnya di Taman Impian Jalan Sungai Lembing dekat Kuantan,Pahang pada 10 Ogos lalu.

Menurut ibunya, Mazlianatum Muhamed Salleh, anak sulungnya yang lebih mesra dengan panggilan 'abang' itu dilihat buat kali terakhir ketika meminta izin untuk ke masjid seperti kebiasaan.

BACA LAGI: Ikuti rapat usaha JusticeForZara, usahawan Keningau mahu taja pakej umrah buat ibu Zara

BACA LAGI: Kes Zara: KDN sahkan ada elemen buli, gangguan seksual dan pengabaian

“Setiap hari dia akan minta izin. Pagi itu pun dia sempat beritahu, ‘Ibu, abang pergi dulu’.

"Tetapi selepas itu, dia tidak pulang semula,” katanya pada Majoriti.

Tambahnya, usaha mencari di kawasan masjid serta menghubungi rakan-rakan anaknya gagal menemui sebarang petunjuk meskipun jarak rumah mereka dengan masjid hanya sekitar lima hingga 10 minit berjalan kaki.

Sementara itu, bapanya Mohd Nizam Ahmad Hairi berkata, anaknya keluar rumah tanpa membawa telefon pintar kerana skrin peranti tersebut rosak.

“Dia keluar sehelai sepinggang hanya bawa kad pengenalan dan tidak bawa beg pakaian.

"Kali terakhir orang nampak, dia seorang diri berjalan-jalan di kawasan Genting Highlands, tetapi bila dicari semula, dia sudah tiada,” katanya.

Menurutnya lagi, anaknya seorang peminat sukan bola futsal dan sebelum kejadian ada menyuarakan hasrat untuk menonton perlawanan pertama antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Pahang Rangers di Kuantan.

"Sehari sebelum kejadian isteri saya hantar Muhammad Aliff melihat perlawanan futsal tersebut di Kuantan dan dia tidak menunjukkan sebarang tanda yang mencurigakan.

“Kami bimbang dia mungkin berada di sekitar Johor kerana pasukan kegemarannya iaitu Pahang Rangers bertanding di Johor Bahru dalam aksi timbal nalik semalam (Ahad).

“Saya risaukan keselamatan anak saya kerana dia seorang yang lurus dan cepat percaya dengan orang. Kami bimbang jika ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap dirinya,” katanya dengan nada sebak.

Tambah Mohd Nizam, dia telah membuat laporan polis dan menggunakan platform media sosial seperti TikTok dan Facebook untuk menyebarkan maklumat kehilangan anak sulung mereka itu.

“Sudah sembilan hari kami menunggu. Harapan kami, jika ada sesiapa yang ternampak atau mempunyai maklumat, segera hubungi pihak polis atau keluarga,” rayunya yang berharap menerima berita mengenai anaknya dalam masa terdekat.

Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Aliff Syazwan boleh menghubungi Mohd Nizam menerusi talian 0126954807. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram