
PERLAWANAN Piala FA 2025 antara Kuching City FC (KCFC) dan Brunei DPMM FC di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah di Brunei pada Sabtu ini, dijangka menjadi medan istimewa buat pertahanan kiri berpengalaman, Tommy Mawat.
Pemain kelahiran Sarawak berusia 30 tahun itu berkemungkinan membuat penampilan sulung bersama DPMM FC selepas menyertai kelab berpangkalan di Brunei itu awal musim ini.
Kehadirannya pastinya mencuri tumpuan penyokong yang ingin melihat bagaimana bekas pemain The Cats itu menyesuaikan diri dengan corak permainan di bawah bimbingan jurulatih DPMM FC.
BACA LAGI: Tak seperti Bergson si mesin pencetak gol, 3 striker bagaikan terkena 'badi' no.9
Aura dan reputasi Tommy bukan asing dalam kancah bola sepak tempatan. Pernah menjadi nadi penting KCFC, Tommy kini bakal berdepan bekas rakan sepasukan yang sudah masak dengan gaya permainannya, menjadikan pertembungan ini ibarat ujian minda dan taktikal.
Lebih menarik, lawan yang menantinya adalah bekas rakan sepasukan yang sudah masak dengan gaya permainannya dan dia juga cukup mengenali kelemahan mereka.
Tiga 'senjata rahsia' yang dimiliki Tommy boleh jadi mimpi ngeri buat KCFC.
1. Kualiti pertahanan
Kehadiran Tommy dalam pasukan akan mengukuhkan lagi benteng pertahanan DPMM FC yang terlalu mudah bolos kebelakangan ini. — Instagram/Tommy Mawat
Tommy terkenal sebagai bek kiri yang tajam membaca permainan lawan. Setiap gerakan penyerang seolah-olah dapat dijangka, membolehkannya berada di posisi tepat sebelum ancaman tercipta. Kelajuan reaksinya memotong hantaran menjadikannya sukar dilepasi, sama ada bola rendah mahupun hantaran jauh.
Tommy juga bijak memilih masa melakukan terjahan bersih tanpa memberi peluang lawan mendapat sepakan percuma mudah, sekali gus menukar momentum permainan kepada serangan balas.
Kehadirannya dalam pasukan akan mengukuhkan lagi benteng pertahanan DPMM FC yang terlalu mudah bolos kebelakangan ini, termasuk ketika mereka mensia-siakan kelebihan dua gol semasa berdepan PDRM FC di Stadium Selayang, Selangor.
2. Kaki kiri berbisa
Tommy (tengah) boleh menjadi aset penting buat rakan sepasukan yang mengharapkan umpanan berkualiti daripadanya.— DPMM FC
Dari sayap kiri, Tommy mampu melepaskan hantaran silang tepat ke kawasan berbahaya, membuka peluang keemasan untuk penyerang. Rembatan jarak jauhnya juga berbahaya, memaksa penjaga gol melakukan aksi menyelamat sukar.
Dalam situasi bola mati, kaki kirinya sering menjadi faktor pemutus perlawanan sama ada sepakan percuma terus ke gawang atau hantaran strategik kepada rakan sepasukan.
Sekiranya diberi peluang dalam mengambil sepakan ketika situasi bola mati, Tommy boleh menjadi aset penting buat rakan sepasukan yang mengharapkan umpanan berkualiti daripadanya.
3. Pengalaman Liga Super
Tommy memiliki kelebihan membaca rentak permainan menentukan tempo, mencipta serangan balas ketika lawan leka, dan memberi tekanan berterusan. — Perak FC
Selain beraksi buat KCFC, Tommy juga pernah menyarung jersi beberapa pasukan lain seperti Perak FC dan Sabah FC yang memberikannya pendedahan berguna untuk menjadi salah seorang bek sayap terbaik dalam negara.
Beraksi dalam 87 perlawanan Liga Super dengan enam gol walaupun berperanan di posisi pertahanan, Tommy memiliki kelebihan membaca rentak permainan menentukan tempo, mencipta serangan balas ketika lawan leka, dan memberi tekanan berterusan.
Perlawanan ini menjadi peluang untuk Tommy membuktikan dirinya masih berbisa dan relevan walaupun berdepan tekanan psikologi menentang bekas pasukan. Sekiranya diturunkan, Tommy berpotensi mencipta detik manis membenam KCFC dan mengukuhkan kedudukannya sebagai tonggak utama DPMM FC musim ini.
— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram