Suram semusim, 3 bintang Liga Super dijangka lebih bersinar 2025/26


  • Podium
  • Sabtu, 09 Ogos 2025

Faisal Halim antara pemain yang paling menjadi tumpuan pada Liga Super 2025/2026. — The Red Giants

DALAM dunia bola sepak, laluan seorang pemain jarang sekali lurus tanpa halangan dan ada masanya mereka berada di puncak, dipuja peminat, dan menjadi sandaran utama pasukan.

Namun, ada juga ketika kecederaan, prestasi merudum, atau kontroversi mengubah segalanya dalam sekelip mata.

Bagi seorang pemain profesional, inilah asam garam yang membentuk ketabahan dan kematangan di padang.

BACA LAGI: [VIDEO] Bertumbuk atas padang, pengadil diserang terpaksa buat repot polis — Penganjur Liga Integriti Hilir Perak

BACA LAGI: Pernah dilabel lebih hebat berbanding Arif Aiman, sayangnya Messi-Neymar Malaysia 'karam' angkara cedera dan konsistensi

Setiap musim membawa cabaran tersendiri daripada persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama sehinggalah tekanan daripada penyokong dan media.

Begitu juga dengan beberapa nama di Liga Super yang musim lalu seakan-akan tenggelam daripada radar sama ada kerana faktor kesihatan, penyesuaian taktikal, atau isu di luar padang sehingga mereka terpaksa menelan kepahitan demi terus berdiri.

Kini, dengan musim baharu bakal bermula tidak lama lagi, tiga bintang Liga Super dijangka lebih bersinar, sekali gus membuktikan bahawa peluang kedua boleh menjadi titik kebangkitan.

Faisal Halim

Faisal diyakini mampu mengembalikan kelincahan dan ketajaman yang menjadi senjata utama Red Giants di jentera serangan

Antara pemain yang paling menjadi tumpuan sudah tentu penyerang lincah Selangor FC, Faisal Halim pada Liga Super 2025/2026.

Pemain sayap berusia 27 tahun itu terpaksa berehat panjang selama 99 hari musim lalu selepas menjadi mangsa serangan asid, sekali gus terlepas 15 perlawanan penting.

Kini, setelah kembali menjalani latihan penuh, Faisal diyakini mampu mengembalikan kelincahan dan ketajaman yang menjadi senjata utama Red Giants di jentera serangan.

Malah, sepanjang kempen pra musim bersama pasukan itu, pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu sudah kembali ke tahap terbaik apabila berkali-kali diturunkan pengendali, Katsuhito Kinoshi.

Untuk rekod, sepanjang kariernya, Faisal sudah mencatat 144 penampilan dengan 36 gol, termasuk 30 jaringan dalam aksi Liga Super.

Tommy Mawat

Tommy disebut-sebut bakal menjadi watak penting dalam misi DPMM FC sebagai pencabar utama pasukan yang lain

Di Brunei, kehadiran Tommy Mawat bersama DPMM FC membuka lembaran baharu dalam perjalanan pemain serba boleh tersebut.

Berusia 30 tahun Tommy sebelum ini beraksi untuk Perak FC dengan 14 penampilan musim lalu, termasuk satu gol di Liga Super.

Walaupun pernah berdepan penggantungan tiga perlawanan oleh FAM susulan insiden di padang, dia tetap menunjukkan fokus dan komitmen tinggi.

Kepantasan, hantaran silang berkualiti serta keupayaan beraksi di pelbagai posisi menjadikan Tommy sebagai aset penting buat DPMM FC dalam menghadapi cabaran musim ini.

Malah, nama Tommy juga disebut-sebut bakal menjadi watak penting dalam misi pasukan baharu Liga Super sebagai pencabar utama pasukan yang lain.

Harith Naem

Harith dijangka lebih agresif menguasai bahagian sayap kanan musim ini.

Sementara itu, di Sabah FC, nama Harith Naem Jaineh kembali menjadi sebutan.

Pemain muda berusia 23 tahun mampu beraksi di posisi sayap kanan, tengah kanan, mahupun bek kanan.

Musim lalu, Harith tampil dalam 28 perlawanan merangkumi saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA, menyumbang satu gol.

Bagaimanapun, kecederaan membataskan potensinya dan dengan kecergasan yang semakin pulih, Harith dijangka lebih agresif menguasai bahagian sayap kanan, sekali gus menjadi elemen penting dalam taktikal skuad Sang Badak.

Selain itu, walaupun hanya bermain 505 minit keseluruhan musim lalu, Harith kini dilihat semakin matang dalam kawalan bola serta lebih yakin memimpin gerakan di sayap kanan dalam beberapa perlawanan pra musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram