Usia 39 tahun bukan penghalang, bekas import Selangor hampiri perpindahan ke kelab Pantai Timur


  • Podium
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Forkey Doe sedang menjalani sesi percubaan selama seminggu bersama kelab berpangkalan di Tendong

BEKAS penyerang import Selangor, Francis Forkey Doe, kini semakin hampir untuk kembali mewarnai kancah bola sepak tempatan apabila dilaporkan sedang menjalani sesi percubaan bersama kelab dari Pantai Timur, Wan Tendong Stable FC (WTS FC).

Menerusi perkongsian Facebook Buletin Bola Kelantan, ketua jurulatih WTS FC, Che Saupi Ibrahim memaklumkan bekas penyerang Forkey Doe sedang menjalani sesi percubaan selama seminggu bersama kelab berpangkalan di Tendong dekat Pasir Mas, Kelantan itu.

BACA LAGI: Tak seperti Bergson si mesin pencetak gol, 3 striker bagaikan terkena 'badi' no.9

BACA LAGI: Bukan hanya JDT, kelab Lembah Klang-Borneo juga 'bolot' pemain kebangsaan

Forkey Doe bukanlah nama asing dalam saingan Liga Malaysia. Selain Selangor, pemain berusia 39 tahun itu pernah menyarung jersi beberapa pasukan utama seperti Kelantan FA, Terengganu dan Negeri Sembilan Matrix, serta meninggalkan impak besar di pentas tempatan menerusi ketajaman penyudahnya.

Kehadiran pemain berpengalaman seperti Forke juga mampu memberikan nilai tambah kepada skuad muda WTS FC, khususnya dari segi kepimpinan dan motivasi di padang.

Forkey Doe terkenal dengan penyudah yang tajam di hadapan pintu gawang. 

Seorang pengguna Facebook, Haris Bin Ahmad, menyifatkan Forke sebagai lambang profesionalisme dan komitmen dalam bola sepak.

“Forkey Doe harus dipuji. Passion dan komitmennya terhadap bola sepak memang terbaik. Walaupun berusia, dia masih mengekalkan kecergasan dan menjalani latihan dengan intensiti mengalahkan pemain muda.

“Saya tidak pasti sama ada dia masih boleh beraksi seperti dulu, tetapi dia jelas menjadi contoh dan inspirasi untuk anak-anak muda dalam memahami erti profesionalisme,” katanya.

Berdasarkan rekod, kelab terakhir diwakili penyerang itu merupakan Pahang FA pada 2018, namun dia difahamkan pernah beraksi buat kelab lain dalam liga semi-profesional dengan hal tersebut sukar dipastikan kerana kekangan data.

Untuk makluman, Forkey Doe pernah membawa pulang Anugerah Kasut Emas Liga Super 2012 ketika bersama Terengganu FA.

WTS FC kini dalam fasa akhir persiapan menjelang musim baharu saingan liga dan dipercayai sedang melengkapkan senarai akhir pemain sebelum pendaftaran rasmi ditutup hujung bulan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram