
SUASANA rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat, kadangkala bertukar menjadi medan tekanan.
Ada pasangan yang pulang dengan hati penuh harapan, tetapi hanya disambut jeritan atau keluhan berpanjangan.
Anak-anak pula tiba-tiba dimarahi walaupun kesalahan mereka kecil. Tidak kurang juga rakan sekerja atau sahabat baik yang tiba-tiba menjadi tempat luahan kemarahan.
BACA LAGI: 'Anak-anak rasa dihargai', pelukan ibu jadi kekuatan di gelanggang sukan
BACA LAGI: Lebih 30 tahun dahulu, Anwar Ibrahim pernah arah sekolah ditutup, tukar pengetua terpalit kes buli
Fenomena ini semakin ketara dalam masyarakat moden. Hidup yang kian mencabar, kos sara hidup meningkat.
Ditambah tekanan kerja serta masalah peribadi menjadikan ramai yang tidak sedar mereka sedang menghampiri tahap stres melampau atau keadaan psikologi yang jauh lebih serius daripada sekadar ‘tekanan biasa’.
Profesor Madya Dr. Fauziah Mohd Saad
Apa itu stres melampau?
Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr. Fauziah Mohd Saad, stres melampau ialah keadaan apabila emosi dan mental seseorang sudah melepasi tahap kemampuan diri untuk menanganinya.
“Bila beban psikologi terlalu berat, minda dan badan tidak lagi berfungsi secara normal. Individu akan berasa seakan-akan terperangkap, tidak nampak jalan keluar, dan akhirnya melepaskan tekanan dengan cara yang salah,” katanya kepada Majoriti.
Antara punca utama termasuklah masalah kewangan, konflik rumah tangga, kehilangan pekerjaan, trauma, masalah kesihatan, tekanan kerja berlebihan, serta pengalaman hidup yang mencabar secara berterusan tanpa peluang untuk pulih.
Dari stres biasa ke stres berbahaya
Ramai yang beranggapan stres itu perkara biasa. Malah ada benarnya, kerana stres dalam tahap tertentu boleh menjadi motivasi untuk kita mencari penyelesaian.
Namun, apabila tekanan berlarutan tanpa pengurusan yang baik, ia bertukar menjadi ‘racun’ kepada kesihatan mental.
Dr. Fauziah menerangkan, stres melampau mampu menjejaskan bahagian otak yang mengawal rasional dan pertimbangan (prefrontal cortex).
"Bila ini berlaku, seseorang mudah hilang pertimbangan, membuat keputusan terburu-buru, atau bertindak secara impulsif tanpa memikirkan kesan.
“Kalau stres biasa hanya sementara, stres melampau boleh mengganggu fungsi harian, tidur, selera makan, emosi, pemikiran, bahkan tingkah laku seharian,” katanya.
Stres melampau ialah keadaan apabila emosi dan mental seseorang sudah melepasi tahap kemampuan diri untuk menanganinya sehingga melepaskan pada orang lain. — Gambar Hiasan/Janaan Ai
Kenapa orang tersayang jadi mangsa?
Tambah Dr. Fauziah lagi mengapa pasangan, anak, ahli keluarga atau kekasih sering menjadi sasaran adalah soalan yang sering dipersoalkan mangsa.
“Jawapannya adalah kerana mereka adalah individu yang paling dekat dan paling mudah diakses secara emosi.
"Apabila tekanan memuncak, seseorang cenderung untuk melepaskan rasa marah atau kecewa kepada orang yang dirasakan ‘selamat’ menerima luahan itu,” jelasnya.
Namun, perbuatan itu berisiko merosakkan hubungan. Pasangan boleh hilang rasa hormat, anak-anak mungkin trauma, malah ikatan kekeluargaan yang kuat juga boleh goyah.
Tanda-tanda awal yang tidak boleh diabaikan
Antara gejala stres melampau yang boleh diperhatikan ialah:
- Perubahan emosi mendadak, cepat marah atau mudah tersentuh
- Sukar tidur atau mengalami mimpi buruk berulang
- Hilang selera makan atau makan secara berlebihan
- Cepat letih walaupun tidak melakukan kerja berat
- Sukar memberi tumpuan dalam kerja atau pelajaran
- Menarik diri daripada pergaulan sosial
Tingkah laku berisiko seperti menyakiti diri atau orang lain
Mereka yang menghadapi stres melampau kadangkadang tidak mampu berfikir secara rasional kerana berada dalam mod “fight-or-flight” . — Gambar Hiasan/Janaan Ai
Menurut Dr. Fauziah lagi, dalam tahap ekstrem, individu boleh berada dalam mod “fight-or-flight” secara berpanjangan.
"Ini bermakna minda hanya fokus untuk melawan atau melarikan diri, lalu menutup fungsi rasional.
"Akibatnya, tindakan agresif, perbuatan merosakkan barang, atau mencederakan orang lain boleh berlaku tanpa difikir panjang," katanya.
Bagaimana membantu individu dengan stres melampau?
Menurut Dr. Fauziah, perkara paling utama dalam membantu individu dengan stres melampau ialah bersikap tenang kerana masih ada ruang untuk mencegahnya seperti sokongan sosial dan keluarga adalah benteng paling kuat.
"Berkongsi rasa, mendengar dengan empati, memberi ruang dan tidak terus menghukum mampu membantu individu mengurangkan tekanan.
“Langkah paling penting ialah keselamatan. Jika situasi tegang, jangan berdebat atau menambah provokasi.
"Gunakan nada tenang, beri ruang bernafas, dan jika keadaan semakin berisiko, jangan teragak-agak mendapatkan bantuan pihak berkuasa atau profesional,” nasihat beliau.
Sokongan sosial
Individu yang mengalami stress melampau memerlukan sokongan emosi dari orang terdekat. — Gambar Hiasan/Janaan Ai
Selain rawatan, sokongan keluarga dan komuniti adalah benteng paling kukuh. Individu yang mempunyai ruang selamat untuk meluahkan rasa, mendapatkan nasihat atau sokongan moral lebih berdaya tahan menghadapi cabaran.
“Kurang tidur, tekanan kerja dan masalah kewangan, semua ini boleh mempercepatkan kemuncak stres.
"Tetapi dengan sokongan yang betul, individu boleh lebih cepat bangkit dan mengelakkan insiden berbahaya,” kata Dr. Fauziah.
Rawatan dan pemulihan
Kaunseling atau terapi psikologi adalah antara jalan utama untuk menangani stres melampau.
Dalam sesi kaunseling, individu bukan sahaja dibantu untuk mengenal pasti punca tekanan, tetapi juga diajar teknik mengawal emosi, strategi penyelesaian masalah, dan cara membina daya tahan mental.
“Stres melampau bukan bermaksud seseorang itu lemah. Ia hanya petanda bahawa beban yang ditanggung melebihi kapasiti semasa. Dengan rawatan yang sesuai, individu boleh kembali bangkit, malah menjadi lebih kuat,” tegas Dr. Fauziah.
Jangan tunggu sampai terlambat
Dalam dunia moden yang serba mencabar ini, stres memang tidak dapat dielakkan.
Namun, mengenal pasti tanda-tanda awal, memberi sokongan dan mendapatkan rawatan segera boleh menghalang stres biasa daripada bertukar menjadi stres melampau yang merosakkan diri dan orang tersayang kerana akhirnya, kasih sayang dan hubungan keluarga adalah tempat kita kembali. Jangan biarkan stres melampau meruntuhkan bahagia yang dibina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram