
KISAH pilu menimpa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir terus meninggalkan kesan mendalam dalam hati masyarakat seluruh negara.
Tragedi yang meragut nyawa pelajar berusia 13 tahun itu bukan sahaja mencetuskan kesedihan, malah membuka mata banyak pihak mengenai erti kehilangan, keadilan dan kasih sayang seorang ibu.
Sejak hari pertama, kes itu mendapat perhatian luar biasa. Ribuan doa dipanjatkan, perhimpunan aman diadakan, dan suara rakyat terus mendesak agar keadilan buat arwah ditegakkan.
BACA LAGI: Beberapa suspek kes Zara Qairina akan didakwa membuli — Jabatan Peguam Negara
BACA LAGI: Kes Zara: KDN sahkan ada elemen buli, gangguan seksual dan pengabaian
Nasir Karim
Tidak kurang juga yang tampil memberikan bantuan kepada keluarganya, khususnya ibu Zara, Noraidah Lamat, yang masih berduka menanggung kehilangan anak tersayang.
Di tengah gelombang simpati itu, seorang usahawan dari Keningau, Nasir Karim, tampil dengan janji akan menaja perjalanan Umrah Noraidah sebaik sahaja proses mahkamah melibat kes Zara Qairina selesai.
“Penajaan Umrah ini hanya akan dilaksanakan selepas kes selesai. Bila-bila masa pun boleh, asalkan sudah berakhir.
Malah, beliau (Noraidah) boleh pilih sendiri syarikat pengendali Umrah mana yang disukai, saya akan bayarkan. Insya-ALLAH, ibu saya pun akan turut serta dalam perjalanan ini,” katanya ketika dihubungi Majoriti.
Menurut Nasir, niatnya ikhlas kerana mahu melihat Noraidah mendapatkan kekuatan baharu dengan berdoa dan menenangkan hati di Tanah Suci.
“Saya tahu luka itu tidak mudah sembuh. Kehilangan anak bukan perkara kecil. Tapi mungkin dengan berada di Makkah, dengan solat dan doa di hadapan Kaabah, hati seorang ibu yang terluka sedikit sebanyak akan terubat,” ujarnya.
Nasir bersama keluarganya menziarahi pusara arwah Zara di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang pada Ahad.
Nasir turut menolak tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa tawarannya sekadar menumpang populariti kes.
Jelasnya, bantuan itu lahir daripada hati kecilnya dan isteri, Emiee Salman, yang turut sama tersentuh dengan penderitaan dialami Noraidah.
“Niat saya bukan untuk glamor atau mencari nama. Ini adalah ikhtiar kecil kami untuk meringankan beban si ibu.
"Saya dan isteri sepakat, apa yang ALLAH beri kepada kami hari ini adalah amanah yang perlu dikongsi,” katanya lagi.
Selain penajaan Umrah, Nasir juga kerap turun padang menyertai perhimpunan aman bersama orang ramai bagi menuntut keadilan buat arwah Zara.
Baginya, kehadiran di setiap perhimpunan bukan sekadar simbol solidariti, tetapi tanda sokongan terhadap perjuangan seorang ibu menuntut kebenaran.
“Ini bukan perjuangan keluarga Noraidah seorang sahaja, tetapi perjuangan seluruh rakyat Malaysia yang mahukan kebenaran ditegakkan. Saya hadir bukan sebagai usahawan, tetapi sebagai seorang ayah yang juga merasai kesedihan kehilangan anak,” tegasnya.
Walaupun belum berpeluang bertemu dengan Noraidah kerana sibuk dengan urusan kerja serta mahu menghormati proses siasatan pihak berkuasa, Nasir sudah pun menziarahi pusara arwah Zara di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang.
“Semalam (Ahad), kami ke kubur Zara. Alhamdulillah dapat sedekahkan doa. Kami juga cuba mencari keluarganya, tapi belum berkesempatan bertemu ibunya.
"Insya-ALLAH, suatu hari nanti ALLAH izinkan,” katanya.
Ditanya mengenai kes Zara, Nasir memilih untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu kerana tidak mahu menjejaskan kerja pihak berkuasa.
“Biarlah polis dan pihak mahkamah jalankan tugas mereka. Kalau kita cakap sembarangan, takut nanti tambah rumit. Saya hanya mahu fokus membantu dari sisi lain,” katanya.
Pada masa sama, Nasir turut memaklumkan kedai dan syarikat milikny di Keningau menyediakan peralatan jenazah secara percuma kepada masyarakat setempat.
Ia sebahagian daripada usaha kebajikan keluarganya untuk meringankan beban orang lain. Bagi saya, rezeki ini bukan milik saya seorang. Ia hanya pinjaman daripada ALLAH.
"Jadi bila ada ruang untuk bantu orang lain, itulah cara saya gunakan nikmat yang diberi,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram