
SUKA atau tidak, anda sebagai peminat bola sepak tempatan perlu mengakui keunggulan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva yang sudah memasuki musim kelima bersama kelab itu.
Dia yang menyertai skuad Harimau Selatan pada 2021 tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri selepas membantu pasukan tersebut mengekalkan takhta Liga Super pada musim pertamanya.
Malah, konsistensi ditonjolkan penyerang kelahiran Brazil itu membolehkannya melakar sejarah tersendiri bersama kelab itu apabila menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 150 jaringan terhasil daripada 142 penampilan.
BACA LAGI: Tak seperti Bergson si mesin pencetak gol, 3 striker bagaikan terkena 'badi' no.9
BACA LAGI: Terpukau rekod cemerlang di JDT, kelab divisyen atasan Brazil berminat dapatkan Bergson
Bergson membuktikan nilainya bersama skuad Harimau Selatan sejak musim pertama di kelab itu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Tidak terhenti di situ, Bergson juga hampir meletakkan namanya dalam sejarah bola sepak negara kerana dia hanya memerlukan satu lagi gol untuk mengatasi rekod Indra Putra Mahayuddin sebagai penjaring terbanyak Liga Super.
Jadi, dengan usianya baru sahaja mencecah 34 tahun, tidak mustahil sekiranya peledak JDT itu mampu memperbaharui catatan tersebut yang sekali gus mengesahkan legasinya.
Tetapi, seperti mana dihadapi mana-mana pemain profesional, setiap permulaan yang indah sudah tentu akan menemui pengakhiran, termasuk buat Bergson bersama skuad Harimau Selatan.
Kehadiran pengurus baharu pasukan, Xisco Munoz yang hadir menggantikan Hector Bidoglio menyaksikan pasukan itu melakukan rombakan akan skuad dengan membawa masuk penyerang baharu, Jairo da Silva.
Jairo (tengah) menjadi senjata utama Xisco Munoz untuk skuad Harimau Selatan musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Impak daripada kehadiran rekrut tersebut menyaksikan Bergson disisihkan daripada kesebelasan utama ketika aksi Piala Sumbangsih menentang Selangor FC di laman sendiri pada Jumaat lalu.
Perkara tersebut pada awalnya tidak memberi kesan terlalu mendalam buat ikon JDT itu selepas kecederaan Samu Castillejo pada minit ke-25 memberi peluang buatnya dimasukkan.
Kesempatan dihidangkan itu diambil dengan baik oleh Bergson kerana dia beberapa kali melakukan percubaan terhadap gawang skuad Gergasi Merah, namun kecekapan Kalamullah Al-Hafiz menutup peluangnya meletakkan nama dalam senarai penjaring.
Bagaimanapun, hanya selepas 52 minit di atas padang, penjaring terbanyak JDT itu dikeluarkan Munoz dan digantikan dengan Natxo Insa bagi membawa kestabilan di posisi tengah pasukan.
Keputusan itu sememangnya diterima baik oleh Bergson yang segera ke bangku simpanan tanpa membantah pendekatan jurulatih dari Sepanyol berkenaan yang mahukan kemenangan buat skuad Harimau Selatan.
Tetapi, riak wajah Bergson ketika namanya dipanggil ke tepi padang menceritakan riak wajah terkejut memandangkan dia belum sempat membawa impak buat JDT.
Hal itu seperti kurang disedari peminat yang sudah tentu gembira menyaksikan skuad Harimau Selatan mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih selain meraih tiga mata pertama dalam Liga Super 2025/26.
Namun, bagi mereka yang peka sepanjang 90 minit permainan, keputusan mengeluarkan Bergson yang hanya sempat beraksi selama 52 minit pasti dijadikan bahan spekulasi mengenai masa depannya bersama pasukan tersebut.
Keputusan Xisco Munoz sedikit sebanyak mengundang rasa kurang senang daripada peminat. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Khabar angin mengatakan penyerang tersebut akan berkelana sudah diketahui kerana kelab di liga bawahan England dan Brazil pernah dikaitkan dengan khidmatnya sebelum ini.
Bergson bagaimanapun memilih untuk terus kekal di pangkuan JDT kerana masih tertarik untuk mencetak satu lagi gol yang akan mengabadikan namanya dalam sejarah bola sepak negara.
Peminat JDT juga sudah tentu terbuka dengan keputusan tersebut memandangkan khidmatnya masih diperlukan skuad Harimau Selatan dalam misi meraih kejuaraan Liga Super ke-12 berturut-turut.
Tetapi, persoalan perlu diajukan kepada Munoz sama ada bekas penyerang Fortaleza itu terus dimahukan nama pasukannya atau dia memiliki resipi tersendiri untuk mengendalikan skuad Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram