Walau kecewa di pentas Sumbangsih, 3 bintang Selangor tampil dalam kelas tersendiri


  • Podium
  • Ahad, 10 Ogos 2025

Ankrah antara pemain yang menyinar pada aksi Piala Sumbangsih menentang JDT. — Facebook/SelangorFC

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) tiada masalah untuk merangkul trofi pertama kempan 2025/2026 selepas menewaskan Selangor FC 3-0 pada perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat. 

Kemenangan tersebut membolehkan Harimau Selatan menjulang trofi tersebut buat lapan musim berturut-turut sejak 2018, sementara Gergasi Merah terpaksa akur kekalahan kepada juara liga 11 musim berturut-turut.

Beraksi di laman sendiri, JDT hanya mengambil masa 59 saat untuk memecahkan kebuntuan menerusi jaringan Jairo Da Silva yang menyudahkan umpanan cantik Jonathan Silva bagi meletakkan pasukan di hadapan.

BACA LAGI: Berdepan 5 ujian penting termasuk JDT, Buriram jadi penentu nasib Kino bersama Selangor

BACA LAGI: Kem Selangor dilanda kecederaan, Kinoshi 'push' anak-anak buah lebih keras

Dua gol selanjutnya dicetak bek tengah, Eddy Israfilov yang menanduk masuk bola masuk ke gawang Kalamullah Al Hafiz pada minit ke-63 dan 10 minit berselang, Arif Aiman Hanapi berjaya melebarkan kedudukan buat JDT.

Tidak dinafikan kekecewaan melanda skuad kendalian Katsuhito Kinoshi, tetapi kualiti beberapa pemain Gergasi Merah wajar mendapat pujian pada aksi pertama Liga Super 2025/2026 berkenaan. 

Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga bintang Selangor yang berhasil mengubat duka kecewa berikutan tampil dalam kelas tersendiri selepas cemerlang bermain menentang Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim. 

1) Kalamullah Al Hafiz 

Antara aksi Kalamullah sewaktu bertemu JDT pada Jumaat. — Facebook/SelangorFC

Meskipun Selangor FC dibolosi tiga gol tetapi ketangkasan penjaga gol Gergasi Merah, Kalamullah wajar diketengahkan susulan pemain berusia 30 tahun itu banyak menafikan percubaan JDT. 

Berdasarkan statistik, Harimau Selatan mecatat 22 percubaan dengan ada diantaranya sekadar melepasi palang tetapi ada juga hasil ketangkasan penjaga gol nombor satu Selangor FC tersebut. 

Ia jelas menunjukkan Kalamullah sekurang-kurangnya menjadi watak utama menyelamatkan maruah Selangor daripada dibolosi lebih banyak pada perlawanan pertama mereka pada kempen Liga Super kali ini. 

Misalnya, gawang Selangor hampir dirobek pada minit ke-39 selepas sepakan percuma Arif Aiman dari jarak 35 meter tetapi Kalamullah terpaksa melayangkan badan bagi menepis bola keluar ketika bola menuju tepat ke penjuru kanan gol.

Dengan persembahan cemerlang ditunjukkan pada aksi pertama, penjaga gol kelahiran Pasir Puteh, Kelantan berkenaan pasti akan digunakan kerap lagi-lagi dalam perlawanan penting musim ini. 

2) Richmond Ankrah

Ankrah sesuai menjadi bek tengah utama musim ini. — Facebook/SelangorFC

Pertahanan tengah Selangor FC, Richmond Ankrah mencuri perhatian penyokong dengan persembahan bertenang dan penuh keyakinan ketika menentang Harimau Selatan yang dibarisi import gred A. 

Pemain import kelahiran Ghana itu mempamerkan ketenangan luar biasa di benteng pertahanan, bijak membaca permainan serta melakukan beberapa pintasan penting bagi mematahkan asakan pasukan lawan.

Walaupun berdepan tekanan tinggi daripada barisan serangan bertaraf bintang JDT, Ankrah kekal compose sepanjang perlawanan, sekali gus membantu pasukannya mengekang ancaman lawan dan mengawal tempo di bahagian belakang.

Aksi meyakinkan berkenaan membuktikan keupayaan bek muda berusia 25 tahun tersebut sebagai tonggak pertahanan yang mampu menjadi sandaran Selangor dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Kualiti diberikan Ankrah tersebut membuktikan tempoh pinjamannya selama semusim bersama Penang FC membuahkan hasil dengan menjadikannya salah satu bek tengah yang wajar diturunkan pada setiap perlawanan. 

3) Kevin Deeromram 

Kevin diambil bagi memperkuatkan bek kiri Gergasi Merah musim ini. — Facebook/SelangorFC

Penyerang sayap lincah JDT, Arif Aiman seakan-akan berada di 'poket' import baharu Selangor FC iaitu Kevin Deeromram susulan bek kiri berkenaan menjalankan tugasnya dengan sangat baik untuk mengunci pergerakan bintang Harimau Selatan itu. 

Pemain berdarah campuran Sweden-Thailand berkenaan mempamerkan ketangkasan dan fokus sepanjang perlawanan, khususnya ketika mengawal pergerakan lincah Arif Aiman pada perlawanan berkenaan. 

Kevin yang kerap membantu rakan sepasukan menutup ruang serangan di bahagian kiri secara konsisten berjaya merencatkan banyak cubaan JDT untuk menembusi kubu Selangor melalui gerakan pantas Arif Aiman. 

Bagaimanapun, selepas berhasil mengawal rapi Arif Aiman sepanjang permainan, gerakan solo pemain kebangsaan itu pada minit ke-73 berhasil melepasi kawalan Kevin Deeromram sebelum melepaskan rembatan deras dari sudut sukar bagi menewaskan Kalamullah. 

Dengan debut memukau di Iskandar Puteri, Kevin sepertinya boleh merealisasikan impiannya untuk membantu Gergasi Merah memenangi trofi kejuaraan pada musim baharu Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram