Macam ada badi di Bandaraya, dah 3 tahun rupanya Sang Penyu menanggung kempunan mata penuh


  • Podium
  • Sabtu, 09 Ogos 2025

Penang FC akan menerima lawatan TFC di Stadium Bandaraya pada Ahad.

SELEPAS hampir tiga bulan sepi daripada sebarang perlawanan Liga Super, saingan divisyen pertama Liga Malaysia (Liga M) akhirnya menemui penyokong dengan bermulanya Liga Super.

Selain pertembungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC untuk aksi pertama dan perebutan Piala Sumbangsih, penyokong kelab lain juga menantikan perlawanan sulung pasukan mereka pada musim ini.

Pada Sabtu, 9 Ogos 2025, tiga perlawanan akan berlangsung melibatkan Imigresen FC menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, Kuching City FC VS Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC berkunjung ke Brunei untuk berhadapan dengan DPMM FC.

BACA LAGI: Terengganu FC raih semangat daripada bas baharu, gandingan baharu

BACA LAGI: Awas Selangor, Terengganu ada 'hikmah' tanpa tekanan saingan peringkat Asia musim ini

Manakala, pada Ahad (10 Ogos 2025) pula menyaksikan satu perlawanan Liga Super sahaja melibatkan Penang FC yang akan menerima lawatan Terengganu FC (TFC) di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada pukul 9 malam.

'Rumah' Harimau Kembang berkenaan boleh dikatakan meninggalkan memori kurang seronok buat skuad Sang Penyu susulan kali terakhir mereka berkunjung menyaksikan tiada sebarang mata berhasil dibawa balik ke Gong Badak. 

Perlawanan pada 19 Mei 2024  itu menyaksikan hasrat Terengganu untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan kedua Liga Super mereka tidak kesampaian apabila sekadar seri 0-0 menentang Penang FC. 

Keputusan Penang FC menentang TFC pada kempen lepas. — Facebook/PenangFC

Pasukan tuan rumah dilihat mengawal permainan pada babak pertama perlawanan menerusi beberapa percubaan membolosi pintu gawang pasukan lawan namun gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Kelab Pantai Timur berkenaan hampir mengejutkan pasukan tuan rumah pada minit ke-38 apabila bekas pemain tengah Manual Gelito Ott berjaya merembat masuk gol namun dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

Keputusan pengadil itu bukan hanya menjejaskan Terengganu, malah jaringan bekas tonggak Harimau Kumbang iaitu Mohammad Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-68 pula dibatalkan pengadil selepas semakan dibuat menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Cubaan pada minit akhir Penang FC untuk mendapatkan gol gagal dan keputusan kekal seri tanpa jaringan hingga tamat wisel perlawanan sekali gus membolehkan kedua-dua pasukan sekadar mengutip satu mata.

Faisal ketika bermain bersama Sang Penyu. — Facebook/TFC

Kempen 2023 juga menyaksikan Terengganu tidak dapat memperoleh tiga mata penuh apabila sekadar meraih keputusan seri 1-1 ketika aksi menentang Harimau Kumbang di Stadium Bandaraya. 

Pengalaman ketika bermain di Bandaraya pada 2022 pasti masih menghantui Sang Penyu susulan mereka tewas dengan keputusan 2-1 meskipun ketika itu Terengganu dibarisi pemain ternama seperti Faisal Halim, Kpah Sherman dan Habib Haroon.

Status Stadium Bandaraya sebagai kubu kuat nampaknya akan terus memberi mimpi ngeri kepada Terengganu, menjadi persoalan sama ada kempen kali ini Sang Penyu akan sekali lagi terlepas tiga mata atau berhasil memecahkan tembok kuat Harimau Kumbang. 

Pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail. — Facebook/PenangFC

Terengganu musim ini boleh dikatakan berwajah baharu apabila hanya mengekalkan Nurillo Tukhtasinov sebagai import dan selebihnya diisi dengan wajah baharu seperti Careca, Gabriel Silva, Yann Mabella dan Junior Ngong Sam.

Manakala, Penang FC di bawah kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail pula menggunkan khidmat import berpengalaman Liga Malaysia seperti Bruno Suzuki, Tchetche Kipre, Stefano Brundo dan penyerang musim lepas iaitu Dylan Wenzel-Halls. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram