Kem Selangor dilanda kecederaan, Kinoshi 'push' anak-anak buah lebih keras


  • Podium
  • Jumaat, 08 Ogos 2025

Kinoshi mendedahkan mendedahkan bahawa beberapa pemainnya mengalami sedikit kecederaan dan lebam ringan.

 

 

PENGENDALI Selangor, Katsuhito Kinoshi sudah menghabiskan minggu lalu dengan mendesak para pemainnya ke tahap fizikal dan mental yang maksimum.

Ia bukan sekadar untuk persediaan menghadapi perlawanan Sumbangsih dan pembukaan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat, tetapi juga untuk mengubah imej daripada pasukan yang baik kepada yang hebat.

Menjelang aksi pembuka tirai musim yang dinanti-nantikan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, jurulatih dari Jepun itu mendedahkan bahawa beberapa pemainnya mengalami sedikit kecederaan dan lebam ringan.

BACA LAGI: Berdepan 5 ujian penting termasuk JDT, Buriram jadi penentu nasib Kino bersama Selangor

BACA LAGI: Sabah FC kongsi ‘template’ jersi bersama kelab gergasi Thailand, tarik perhatian ekor Garuda

“Kebanyakan pemain mengalami kecederaan kecil.

"Ia boleh menjadi kelemahan atau kekuatan kami. Saya percaya para pemain kami mampu mengatasi situasi yang tidak selesa ini. Ini adalah sebahagian daripada bola sepak. Jika anda mahu berkembang, anda perlu melepasi halangan itu.

“Selepas keputusan seri 0-0 menentang Asia Warriors, saya memang mendesak para pemain dengan latihan yang intensif, sebab itulah ada sedikit kebimbangan terhadap keadaan fizikal mereka tetapi kami akan keluar daripada situasi ini dengan lebih kuat," katanya.

Bagi Kinoshi, perlawanan malam ini bukan sekadar ujian disiplin taktikal tetapi juga kekuatan mental.

Sejak tiba, dia telah menerapkan falsafah yang kukuh berasaskan intensiti dan perpaduan, sesuatu yang dibentuk sepanjang program pra-musim selama enam hingga tujuh minggu termasuk kem latihan di Thailand.

Ujian paling besar hadir segera untuk Selangor apabila dijadual menentang JDT, gergasi bola sepak Malaysia dan juara empat kali ganda berturut-turut (Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia).

“Kami sangat menghormati JDT. Mereka telah mendominasi bola sepak Malaysia dan membawa pengalaman antarabangsa ke atas padang. Tetapi kami percaya dengan kerja keras kami. Kami yakin untuk memberi cabaran," kongsinya.

JDT telah menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai kubu kuat, dan menurut Kinoshi, Harimau Selatan akan turun dengan identiti baharu iaitu sistem 3-1-4-2 di bawah kendalian jurulatih Sepanyol baharu, Xisco Munoz.

Selain itu, beberapa perubahan pemain juga berlaku seperti barisan tengah yang diperbaharui serangan bernafas Brazil menerusi Jairo Da Silva dan Joao Figueiredo, serta benteng pertahanan yang diperkukuh.

Kinoshi berkata, dia sedang menetapkan sistem untuk menyerap tekanan dan melancarkan serangan balas pantas.

"Ini bukan sekadar soal penyerang menjaringkan gol. Kami perlukan transisi yang lebih mantap dan sistem pertahanan yang kukuh. Itulah fokus kami," jelasnya.

Walaupun pengkritik mungkin menyentuh tentang permulaan perlahan dalam aksi persahabatan pra-musim menentang Asia Warriors dua minggu lalu, Kinoshi menepisnya dengan menyifatkannya sebagai 'perlawanan latihan' yang digunakan untuk merotasi seluruh skuad dan mencuba kombinasi taktikal.

"Perlawanan itu bukan ukuran sebenar kami. Selepas itu, kami menewaskan sebuah kelab profesional 5-0 dengan prestasi tinggi. Saya nampak respons yang saya perlukan. Kami telah atasi isu-isu kecil itu," ujarnya.

Menyentuh perlawanan pada malam ini, Kinoshi mahukan lebih daripada sekadar persembahan kompetitif iaitu menyampaikan satu mesej kepada peminat Malaysia dan pemerhati antarabangsa bahawa Liga Super mampu menyajikan bola sepak yang mendebarkan dan berkualiti tinggi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram