Terpukau rekod cemerlang di JDT, kelab divisyen atasan Brazil berminat dapatkan Bergson


  • Podium
  • Jumaat, 27 Jun 2025

Bergson merupakan antara import terbaik pernah mewarnai arena bola sepak tanah air. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

HANYA satu gol diperlukan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva untuk meleburkan rekod milik Indra Putra Mahayuddin sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam Liga Super.

Dia yang tiba pada 2021 itu sememangnya antara peledak import terbaik pernah mewarnai arena bola sepak tempatan dengan kelincahan dan rembatan deras mampu dilakukannya dari pelbagai sudut merupakan ancaman paling bahaya dimilikinya.

Jadi, tidak hairanlah apabila pemain tersebut sudah mencatatkan 150 gol dalam 141 penampilan buat skuad Harimau Selatan sepanjang empat musim berada di Selatan tanah air.

BACA LAGI: Lepas kehadiran Facundo Garces, media Argentina lapor penyerang kelab lama Bergson akan sertai HM

BACA LAGI: Bergson hampiri rekod Indra Putra, kelab makin kurang percaya kualiti striker lokal

Sport Recife di Brazil dilaporkan tertarik untuk mendapatkan khidmat Bergson. Agensi

Bagaimanapun, baru-baru ini, muncul pula khabar angin bahawa kelab dari Brazil, Sport Club Recife berminat untuk mendapatkan khidmat Bergson selepas kontraknya berakhir pada penghujung 2025.

Wartawan dari negara tersebut di laman X, Antonio Gabriel menyatakan pasukan divisyen teratas itu bersedia menawarkan kontrak buat penyerang berbisa berkenaan.

Khabar angin itu kemudian heboh diperkatakan di beberapa agensi media Brazil, termasuk Portal de Prefeitura yang menyatakan proses rundingan mungkin berdepan kesukaran.

"Antara cabaran besar bakal dihadapi adalah berkenaan permintaan gaji tinggi pemain tersebut. Bayaran diterima Bergson di Malaysia adalah tinggi berbanding apa boleh ditawarkan Sport Club Recife.

Bergson pernah menyertai beberapa kelab sekitar Brazil sebelum melebarkan sayap karier ke Asia. Agensi

"Selain itu, rekod cukup baik ditampilkannya buat JDT menyukarkan kemungkinan untuk kelab berkenaan melepaskannya. Persembahannya sudah meningkatkan nilai pasaran yang mungkin mencetuskan permintaan bayaran daripada pasukan Liga Super itu," tulisnya.

Sebelum menggegarkan arena bola sepak tanah air, penyerang berusia 34 tahun terbabit terlebih dahulu mempamerkan kebolehannya di negara kelahirannya dengan pelbagai kelab pernah diwakilinya seperti Gremio dan Fortaleza.

Meskipun catatannya di Brazil tidaklah begitu memberangsangkan, Bergson pernah menikmati momen cukup membanggakan apabila menjuarai Copa Sudamericana 2018 bersama Atletico Paranense.

Peluang kembali ke negara kelahirannya sudah tentu menjadi antara tarikan baginya meninggalkan skuad Harimau Selatan, lebih-lebih lagi selepas ada kemungkinan peluangnya meraih status naturalisasi kian tipis.

Namun, dengan Bergson kelihatan sudah selesa di negeri itu, dia mungkin akan menolak untuk pulang ke Brazil sekiranya tiada tawaran lebih lumayan diterima. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram