
KELANTAN The Real Warriors (TRW) FC memulakan kempen Liga Super 2025/26 dengan langkah kiri selepas mengalami kekalahan besar 0-4 dalam aksi pembukaan menentang Kuching City FC.
Dalam perlawanan di Stadium Negeri Sarawak pada Sabtu, kealpaan pertahanan skuad kendalian E Elavarasan menjadi punca gawang mereka dirobek sebanyak empat kali.
Persembahan paling mengecewakan dalam kalangan empat bek diturunkan sudah tentu daripada bek tengah import, Alexander Yeoule yang gagal mengekang asakan tuan rumah meskipun fizikalnya jauh lebih baik berbanding rakan sepasukan.
Dia yang berketinggian 1.88 meter sepatutnya menjadi nadi pertahanan pasukan pelawat, namun debutnya dicemari beberapa kesilapan yang cukup merugikan.
BACA LAGI: Kembali ke Kota Bharu, ramai harap kehadiran Ghaddar bukan hanya untuk ‘friendly’
BACA LAGI: [VIDEO] Dah lebih 10 tahun, cinta Ghaddar buat TRW masih belum pudar
Kelantan TRW mengalami kekalahan pertama musim ini selepas ditundukkan Kuching City FC di tempat lawan. — Facebook/MFL
Kesilapan terbesar dilakukan pemain dari Ivory Coast itu adalah semasa dia gagal mengekang gerakan penyerang sayap The Cats, Ramadhan Saifullah yang kemudian menghantar bola kepada Ronald Ngah Wanja untuk gol ketiga tuan rumah.
Kualiti ditonjolkan bek berkenaan dijadikan bahan sindiran penyokong sendiri yang mempersoalkan keputusan pihak pengurusan mendapatkan pemain berusia 29 tahun terbabit.
Malah, perkara itu turut mencuri perhatian legenda bola sepak Kelantan, Mohamad Ghaddar yang berkongsi dua klip jaringan Kuching City FC dengan kedua-duanya berpunca daripada kesilapan Yeoule.
Lebih menarik lagi, salah satu hantaran itu disertakan dengan kapsyen ringkas 'Pertahanan cukup baik' yang seakan-akan sindiran ke atas pemain tersebut dan kelabnya.
Usikan berkenaan seperti berpunca daripada tindakan Kelantan TRW menolak import dicadangkan Ghaddar, Moaiad Alkhouli yang sebelum ini hampir menyertai pasukan itu.
Bagaimanapun, keputusan akhir menyaksikan perpindahan tersebut gagal dimeterai, sekali gus menyaksikan pemain antarabangsa Syria itu tidak terikat dengan mana-mana pasukan.
Kemelut itu kemudian menyaksikan bekas penyerang Kelantan berkenaan mempersoalkan profesionalisme presiden kelab, Tan Sri Annuar Musa yang dikatakan kerap membuat janji palsu.
Kekalahan di Borneo tanah air itu sudah tentu mendesak pasukan Pantai Timur itu segera supaya bangkit menjelang aksi kedua Liga Super menentang Imigresen FC pada Selasa depan.
Sekiranya meraih tiga mata penuh, skuad bimbingan Elavarasan mampu keluar dari kedudukan tercorot dan sekurang-kurangnya dapat menarik lebih ramai penyokong ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan sepanjang musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram