
SELAIN melakukan rombakan terhadap skuad, terdapat juga kelab Liga Super yang melakukan perubahan ke atas imej dan identiti kelab dengan mengubah logo pasukan.
Kelab yang dimaksudkan ialah Kelantan The Red Warriors (TRW) FC dan Melaka FC dengan kedua-duanya tampil dengan logo berbeza berbanding musim lalu.
Melaka FC yang baru sahaja dinaikkan pangkat dari Liga A1 Semi Pro tampil dengan sedikit kelainan menggunakan warna biru lebih kelab dan perubahan terhadap grafik bola digunakan.
BACA LAGI: Aura Liga Super bantu naikkan saham bintang baharu Selangor-Sabah-TRW
Melaka FC melakukan sedikit perubahan terhadap logo pasukan menjelang musim baharu.
Namun, perubahan terbesar sebenarnya dilakukan Kelantan TRW dengan nama dan logo pasukan digantikan selepas berlakunya rombakan terhadap organisasi pengurusan pasukan.
Kelab yang musim lalu dikenali sebagai Kelantan Darul Naim (KDN) FC menampilkan hiasan lebih kompleks terhadap logo, namun mengekalkan jata asal sebelum ini.
Perubahan terhadap kedua-dua pasukan itu sekali gus dianggap hanya mengubah identiti pasukan, namun pandangan pemerhati bola sepak tanah air, Afiq Rowley adalah sebaliknya.
Jelasnya, terdapat kemungkinan perubahan dilakukan merupakan langkah pihak pengurusan mencipta imej tersendiri dan tidak lagi terikat dengan reputasi terdahulu.
"Pada saya mungkin identiti di peringkat dasar sahaja berubah, tetapi secara dalaman masih sama. Selain itu, ada kemungkinan kelab masih tiada imej sendiri sehingga kerap mengubah logo.
Kelantan TRW menampilkan imej baharu yang sedikit kompleks berbanding musim lalu.
"Tetapi, saya lihat ia lebih kepada pengurusan dan kepimpinan yang ingin mencipta legasi mereka menerusi identiti tersendiri," katanya kepada Majoriti.
Perubahan terhadap logo disaksikan saban musim dalam arena bola sepak tempatan, lebih-lebih lagi sekiranya terdapat kehadiran pemegang saham utama baharu.
Sebagai contoh, Perak FC yang berdepan masalah pengurusan selama dua tahun bermula 2020 melakukan perubahan logo beberapa kali dengan ada daripadanya dikritik teruk oleh peminat.
Kelantan TRW juga berkali-kali mencari identiti tersendiri memandangkan dalam musim pertama di pentas Liga Super 2023, mereka dikenali sebagai Kelantan United FC.
Kedah FA menganjurkan peraduan cipta logo semasa proses penjenamaan semula kira-kira lima tahun lalu. — Facebook/Kedah FA
Perubahan terlalu kerap itu boleh menyebabkan jurang dengan penyokong yang semestinya mahu imej kelab dikekalkan tanpa perlu membuat sebarang kelainan dari tahun ke tahun.
Tetapi, bagi Afiq Rowley, pertukaran logo pasukan sepatutnya dapat mewujudkan hubungan kukuh dengan peminat setia sekiranya terdapat usaha kerjasama antara kedua-dua pihak.
"Pada saya, ia lebih mendekatkan kelab dan peminat jika mereka mengadakan peraduan mencipta logo dan undian dibuat sesama peminat. Ini secara tak langsung sikap penyokong untuk sayangkan kelab dan mendekati kelab lebih kukuh," katanya.
Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC merupakan antara pasukan tempatan yang pernah mengadakan peraduan sedemikian dengan pendekatan terbabit menerima respons baik di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram