
BERBAKI kurang sebulan lagi sebelum jendela perpindahan pertama ditutup, masih terdapat beberapa pasukan masih belum mengumumkan senarai skuad mereka meskipun tirai saingan akan bermula pada awal Ogos 2025.
Perlawanan pertama akan dimulakan dengan Piala Sumbangsih yang turut menjadi aksi pembukaan Liga Super melibatkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan naib juara iaitu Selangor FC pada 8 Ogos (Jumaat).
Dalam tempoh sebulan sebelum jendela perpindahan pertama akan ditutup pada 31 Ogos 2025, masih ada pemain yang dilaporkan sedang sibuk mencari kelab dan ada juga tonggak dilaporkan akan meninggalkan pasukan meskipun tampil dengan aksi cemerlang.
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah belajar bahasa Melayu bersama Tae-su, bekas bintang Sabah FC umum gantung but
BACA LAGI: Aura Liga Super bantu naikkan saham bintang baharu Selangor-Sabah-TRW
Agak mengejutkan jika pemain yang cemerlang membantu kelab tapi akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal susulan tidak berada dalam perancangan pasukan atau pilihan diri sendiri mahu mencari baharu baharu.
Lebih menarik apabila ada di antara pemain yang dikhabarkan akan meninggalkan kelab pada minit akhir ini, difahamkan sudah menyertai sesi pramusim untuk kempen Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026.
Menjelang kira-kira lima hari sebelum liga bermula, Majoriti menyenaraikan dua pemain yang dikhabarkan memilih untuk meninggalkan kelab walaupun sudah tampil cemerlang sepanjang kempen Liga M.
1) Juan Muniz
Siapa sangka salah satu pemain tengah terbaik Harimau Selatan iaitu Juan Muniz dikhabarkan memilih untuk meninggalkan JDT selepas hampir dua musim menjadi watak utama kelab gergsasi tanah air berkenaan.
Muniz yang hadir ke Iskandar Puteri pada Ogos 2023 mendapat kepercayaan menjadi arkitek JDT dengan dia tampil dalam 73 perlawanan dan berhasil menyumbang 24 gol dan 28 bantuan jaringan untuk Harimau Selatan.
Pada awalnya, pemerhati bola sepak tanah air iaitu Zulhelmi Zainal Azam menyebut bahawa pemain terbaik final Piala FA 2024/2025 berkenaan bakal dilepaskan secara pinjaman ke pasukan lain.
Walau bagaimanapun, identiti kelab baharu yang bakal menjadi kelab sementara Muniz berkenaan tidak dinyatakan sama ada pasukan tempatan yang bersaing di Liga Malaysia atau pun di liga luar negara.
Bagaimanapun, ada juga khuatir bahawa pemain kelahiran Sepanyol berkenaan akan meninggalkan JDT untuk selama-lamanya selepas salah seorang kenalannya memuat naik foto bersama dengan kapsyen mencurigakan.
"Pusingan terakhir, harapnya buat yang terakhir Juan Muniz. Semoga berjaya dalam pengembaraan anda yang seterusnya," kongsi rakannya itu menerusi hantaran di media sosial.
Momen yang paling diingati penyokong mengenai Muniz pastinya adalah hatrik ketika di perlawanan akhir Piala FA ketika menewaskan Selangor 6-1 untuk mempertahankan kejuaraan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
2) Joao Pedro
Penyerang kelahiran Brazil, Joao Pedro seperti tidak mempunyai arah tuju yang jelas pada jendela perpindahan pertama musim ini apabila namanya banyak dikaitkan dengan pelbagai kelab Liga M.
Mana tidaknya, pemain berusia 25 tahun itu masih tidak mempunyai kelab selepas khidmatnya tidak diperlukan oleh Sabah FC susulan kelab berkenaan sudah menandatangani penyerang baharu iaitu Ajdin Mujagic.
Pada awalnya, Pedro dikaitkan akan memperkuatkan jentera serangan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan ia juga disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar.
Namun, terbaharu pemain yang selesa dengan kaki kirinya itu dikaitkan pula akan menyarung jersi Imigresen FC bagi membantu naib juara Liga A1 Semi Pro 2024-2025 itu mahu memberi saingan hebat pada musim baharu ini.
Pedro bukanlah penyerang kategori tumpul apabila selepas kira-kira enam bulan bersama skuad Sang Badak, penyerang berketinggian 1.85 berkenaan sempat bermain dalam 15 perlawanan dan meledak lapan gol.
Belum sempat menunjukkan kualitinya, Pedro menerima tawaran untuk menyertai kelab Ho Chi Minh City di Vietnam secara pinjaman pada Februari 2025 dengan pihak pengurusan Sabah FC terpaksa akur dengan pilihannya.
Keputusannya bermain di Vietnam bagaimanapun tidak memberi pulangan lumayan apabila Pedro sekadar meledak tiga gol dalam 10 perlawanan domestik dia diturunkan oleh Ho Chi Minh City. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram