
SEPAK mula Liga A1 bermula minggu ini dengan dua pasukan ditunjangi persatuan bola sepak negeri (FA) iaitu Kedah dan Perak turun beraksi.
Kehadiran mereka adalah susulan masalah kewangan dihadapi oleh Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC hinggakan ada yang menarik diri sepenuhnya daripada Liga Malaysia.
Ia membuatkan FA kedua-dua negeri tampil membuka pasukan namun tindakan tersebut menimbulkan reaksi yang pelbagai.
BACA LAGI: Aura Liga Super bantu naikkan saham bintang baharu Selangor-Sabah-TRW
Kedah FA sedia untuk membayangi Kedah Darul Aman FC.
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Hanif Miswan, tindakan FA Kedah dan Perak menghantar pasukan itu jelas sekali satu langkah ke belakang kerana bola sepak Malaysia sedang menuju era penswastaan.
Akan tetapi, tindakan tersebut dilihat sebagai 'ubat tahan sakit' buat penyokong kerana mereka perlu menahan kesakitan tiadanya wakil negeri mereka beraksi di Liga Super.
"Kalau nak kata macam ubat tahan sakit itu ya, tapi situasinya lebih kepada dilema penyokong apabila macam nak sokong segan tak nak sokong lagilah susah. Tapi kena sokong juga sebab itu pasukan yang ada.
"Ia mungkin menjadi ujian kepada penyokong-penyokong mereka ketika berhadapan dengan satu situasi yang rendah buat pasukan kerana masalah yang dihadapi adalah isu dana. Oleh itu, pilihan bermain di Liga A1 adalah yang terbaik," kata Hanif kepada Majoriti.
Bermain di Liga A1 bertujuan untuk mengelakkan kos yang terlalu tinggi kerana permintaan di Liga Super lebih besar buat Kedah dan Perak.
Oleh itu, timbul dilema, adakah kedua-dua pasukan ini hanya mempunyai visi kecil mahu beraksi di liga bawahan seperti Liga A1?
Perak FA 'hidup' semula kerana masalah dihadapi Perak FC.
Hal ini disebabkan kedua-duanya ditunjangi oleh dana kerajaan negeri, jadi pasti mereka tidak mahu menggunakan terlalu banyak wang rakyat apabila beraksi di Liga Super.
Bagi Hanif, ia bukan soalnya sebaliknya Kedah dan Perak hanya perlukan masa membina kepercayaan agar penaja mula mendekati mereka selepas ini.
"Saya berpendapat mereka cuma menanti masa untuk benar-benar stabil sebelum bersaing di peringkat seterusnya. Kedah dan Perak berjanji kepada penyokong untuk terus hidup dalam bola sepak Malaysia, jadi mereka bermula di Liga A1.
"Apabila mereka sudah stabil, saya yakin mereka akan menjadi antara kelab mendominasi Liga A1. Apabila mereka semakin meningkat, pastinya mereka boleh menarik semula keyakinan penaja untuk bersama mereka.
"Ia bukan isu dana lagi, namun isu berkaitan kemampuan menarik penaja. Kedua-dua pasukan ini pastinya mahu kembali segera ke Liga Super, lebih cepat lebih bagus," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram