Kembali ke Kota Bharu, ramai harap kehadiran Ghaddar bukan hanya untuk ‘friendly’


  • Podium
  • Ahad, 22 Jun 2025

Ghaddar merupakan salah seorang penyerang import terbaik sepanjang zaman pernah dimiliki skuad The Red Warriors. — Agensi

BEKAS penyerang sensasi Kelantan, Mohammad Ghaddar dikhabarkan bakal kembali ke negeri Cik Siti Wan Kembang, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai peranannya bersama pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) menjelang musim baharu Liga Super.

Perkembangan itu dikongsikan oleh bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menerusi laman Facebook rasminya pada Ahad, yang menyatakan beliau sempat berbual bersama Ghaddar dan memberi bayangan kepulangan penyerang kelahiran Lubnan itu ke Kota Bharu, Kelantan.

“Sempat bercakap dengan Ghaddar, minta balik kampung minggu ini. Insya-ALLAH Ghaddar balik Kelantan,” tulis Annuar dalam hantarannya.

BACA LAGI: Dapat sokongan TMJ lepas 'kisah gelap' antara 3 momen penting Farizal Marlias bersama JDT

BACA LAGI: Dua kali bertemu di Asia musim lalu, Selangor umum jeneral Thai rekrut pertama musim 2025/26

Annuar Musa memberi bayangan bahawa Ghaddar akan kembali ke Kelantan dalam masa terdekat. Facebook

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada kepulangan Ghaddar sekadar untuk menghadiri perlawanan amal atau menyertai staf kejurulatihan pasukan.

Terdahulu, pemerhati sukan tanah air, Fina Nasrom memaklumkan Ghaddar akan tampil dalam perlawanan amal membabitkan legenda Kelantan menentang legenda Kedah pada 27 Jun ini.

“Selepas Dickson Nwakaeme, Mohammad Ghaddar tarikan seterusnya untuk aksi amal Kelantan Treble bertemu Kedah Double Treble pada 27 Jun depan,” katanya menerusi platform X.

Aksi amal itu turut bakal menyaksikan kehadiran bekas bintang import lain seperti Dickson Nwakaeme dan Francis Forkey Doe yang pernah mencipta nama bersama Kelantan dan Selangor. 

Sementara itu, kehadiran Ghaddar yang dianggap legenda oleh penyokong Kelantan turut membangkitkan harapan dalam kalangan peminat, yang mahukan kepulangannya bukan sekadar sementara.

Sebaliknya memainkan peranan penting dalam usaha memulihkan kegemilangan bola sepak di negeri tersebut.

Ghaddar merupakan salah seorang penyerang import terbaik sepanjang zaman pernah dimiliki skuad The Red Warriors (TRW). 

“Semoga kehadiran Ghaddar bukan setakat untuk datang friendly tapi membantu Kelantan,” kata Amir Ashraf.

“Balik negeri nak bantu Kelantan ke tu?,” kata Azman Hashim.

“Ada sinar untuk Kelantan saingan Liga Super musim depan,” kata Mohd Fakrul. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram