[VIDEO] Dah lebih 10 tahun, cinta Ghaddar buat TRW masih belum pudar


  • Podium
  • Ahad, 10 Mac 2024

Ghaddar merupakan kunci utama di sebalik zaman kegemilangan skuad TRW di pentas domestik. — Agensi

SATU ketika dahulu, Kelantan tidak pernah berdepan sebarang isu dari segi pemain import memandangkan rata-rata daripada mereka jarang mengecewakan.

Ia merupakan salah satu kunci utama yang membolehkan mereka meraih pelbagai kejayaan, termasuk menjuarai gelaran 'treble' pada 2012.

Salah seorang import terbaik pernah dimiliki kelab Pantai Timur itu ialah penyerang dari Lubnan, Mohamad Ghaddar yang cukup prolifik.

Dia yang menyertai skuad The Red Warriors (TRW) buat kali pertama pada 2013 tidak perlu menunggu lama untuk mencuri perhatian penyokong.

Malah, ketika dia kembali buat kali ketiga pada 2017, perasaan peminat setia Kelantan masih kekal terhadapnya meskipun ketika itu, dia sudah sedikit berusia.

BACA LAGI: Bekas 'coach' TRW teruja jadi keluarga Harimau Selatan, kongsi faktor besar sertai JDT

BACA LAGI: Konflik Kafa-TRW belum berakhir, perbicaraan penuh pada 20 Februari

Kini, Ghaddar sudah tidak lagi bergelar pemain profesional setelah kali terakhir beraksi adalah bersama kelab di negara kelahirannya, Nejmeh pada 2022.

Bagaimanapun, baru-baru ini, pemain berkenaan membuktikan bahawa skuad TRW masih mempunyai tempat di hatinya dalam satu hantaran di Instagram peribadinya.

Hantaran terbabit memaparkan sedutan video ketika dia membolosi gawang skuad Gergasi Merah dalam satu aksi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Selangor.

Jaringan berkenaan membuktikan kualiti dimilikinya apabila dia mudah melepasi beberapa pemain pertahan Selangor sebelum melakukan penyudah menerusi songketan terhadap penjaga gawang.

Ia sedikit sebanyak mengubati kerinduan penyokong skuad TRW terhadapnya dengan Ghaddar boleh diangkat sebagai salah seorang penyerang terbaik pernah dimiliki Kelantan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram