
SELEPAS sepi tanpa sebarang perkhabaran, Imigresen FC akhirnya mengumumkan skuad lengkap bagi saingan Liga Super 2025/26 yang dibarisi campuran pemain muda dan berpengalaman.
Dalam sebuah majlis diadakan di Alor Setar, Kedah pada Rabu, pengumuman tersebut dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang kelihatan berkobar-kobar untuk memberi cabaran terbaik musim depan.
Ini kerana skuad The Mighty Tigers akan diketuai pengendali berkualiti, Yusri Che Lah sambil dibantu Pengarah Teknikal, Ahmad Shahrul Azhar dengan kedua-duanya pernah bekerjasama di Perak FC sebelum ini.
BACA LAGI: Hantaran cetus persoalan, Clayton beri 'hint' tinggalkan TBG atau sahkan ura-ura Perak terkubur?
Majlis pengumuman skuad Imigresen FC bagi musim depan turut dihadiri Saifuddin Nasution. — Facebook/Imigresen FC
Kesungguhan ditonjolkan Imigresen FC tidak terhenti di situ kerana mereka turut mengumumkan barisan pemain dengan nama-nama besar seperti Rizal Ghazali, Fayadh Zulkifli Amin dan Nik Sharif Haseefy antara bintang cukup ternama.
Tidak cukup dengan itu, pasukan yang akan berpangkalan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang tersebut turut diperkuatkan pemain import, termasuk Joao Pedro yang sebelum ini bersama Sabah FC serta beberapa nama-nama lain lagi.
Pelaburan besar dibuat pihak pengurusan Imigresen FC itu menceritakan cita-cita besar diletakkan untuk melihat pencabar baharu Liga Super tersebut memberi saingan terbaik dan bukan semata-mata menjadi pelengkap jadual.
Namun, ini bukan kali pertama pasukan yang baru sahaja 'dinaikkan pangkat' membuat pelaburan besar kerana rombakan sedemikian pernah dilakukan Perak FC kurang dari tiga tahun lalu.
Kehadiran XOX sebagai penaja diharapkan mampu mengembalikan zaman kegemilangan skuad TBG. — Facebook/Perak FC
Pada musim 2023, skuad The Bos Gaurus (TBG) kembali ke saingan Liga Super selepas menghabiskan tempoh semusim di divisyen kedua selepas mengalami isu pengurusan cukup serius.
Masalah tersebut kemudian cuba diselesaikan syarikat telekomunikasi tempatan, XOX Sdn Bhd menerusi XOX Pro Sport Sdn Bhd yang pertama kali mahu terlibat dalam arena bola sepak tempatan.
Cita-cita besar diletakkan pelabur baharu itu sememangnya menerima sokongan kukuh daripada peminat, lebih-lebih lagi selepas skuad TBG melakukan rombakan cukup hebat.
Nasib juga kelihatan menyebelahi Perak FC kerana pasaran ketika itu cukup luas berikutan pengunduran Melaka United FC, Sarawak United dan Petaling Jaya (PJ) City FC yang menyaksikan lambakan pemain berstatus ejen bebas.
Hadi Fayyadh merupakan perpindahan terbesar skuad TBG pada musim 2023. — Facebook/Perak FC
Perpindahan terbesar sudah tentu selepas skuad TBG mengalu-alukan kehadiran Hadi Fayyadh Abdul Radzak yang bertahun-tahun menimba pengalaman di divisyen bawahan Jepun.
Bagi memastikan pasukan itu dikendalikan dengan baik, pihak pengurusan turut melantik Datuk Lim Teong Kim, sekali gus meletakkan skuad TBG sebagai pencabar utama Liga Super 2023.
Namun, harapan menyaksikan era kegemilangan Perak FC berulang tidak kesampaian kerana cita-cita besar itu akhirnya memakan diri selepas kelab Utara tanah air itu menampilkan aksi terumbang-ambing.
Lebih teruk lagi, dua musim selepas kehadiran XOX Pro Sport Sdn Bhd, skuad TBG sekali lagi menerima tamparan hebat apabila pelaburan dibuat tidak membawa sebarang pulangan sehingga menyaksikan kelab itu 'terkubur' sekali lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram