
SELAIN memilih untuk menceburi bidang kejurulatihan, rata-rata pemain bola sepak tempatan turut berminat mencuba karier berbeza setelah menamatkan tempoh beraksi dengan perniagaan adalah antara pilihan terbaik.
Hal tersebut dibuktikan bekas pemain Perak FC, Sunil Chandran yang baru-baru ini difahamkan sudah membuka kedai menggunting rambut secara kecil-kecilan meskipun masih boleh bermain di tahap tertinggi untuk beberapa tahun lagi.
Dia yang baru berusia 25 tahun memilih meninggalkan karier bola sepak untuk membuka perniagaan kecil-kecilan itu yang dinamakan Balrcutz berpangkalan di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya, Selangor.
BACA LAGI: Dari padang bola ke kandang lembu, bek kanan JDT selesa ceburi bidang penternakan
BACA LAGI: [VIDEO] Datuk Vida kongsi ada orang tengah 'approach', minta bantu taja Perak FC
Sunil (atas, kiri) memulakan perniagaan menggunting rambut bersama salah seorang kenalannya. — Instagram/Sunil Chandran
Jelasnya, keputusan untuk memulakan perusahaan tersebut adalah disebabkan masalah gaji dialami dengan masalah sedemikian bukan sahaja melanda skuad The Bos Gaurus (TBG), mamalh beberapa kelab Liga Super yang lain.
Meskipun masih belum membuahkan hasil sebenar, ini menunjukkan Sunil tahu apakah minat sebenarnya dengan keputusan tersebut memastikan sumber kewangan kukuh berbanding kekal dalam dunia bola sepak.
Bagaimanapun, bekas 'ubi muda' Perak FC itu bukanlah yang pertama memilih untuk menceburi bidang perniagaan kerana beberapa tahun lalu, ada juga beberapa pemain lain dari kelab terbabit pernah berbuat demikian.
1. Nazirul Naim
Sepanjang bergelar pemain bola sepak, Nazirul Naim pernah menyertai pelbagai pasukan seperti Kuala Lumpur (KL) City FC dan Harimau Muda A, namun namanya paling diingati adalah semasa dia bersama Perak.
Ini kerana sebagai anak jati Kuala Kangsar, bek kiri berkenaan memilih untuk menabur bakti selama lima tahun bersama pasukan Utara tanah air tersebut dengan ia memberi pelbagai momen manis buatnya.
Nazirul Naim yang dahulu ligat di atas padang kini sibuk mengerjakan perniagaan kopi. — Facebook/Oh My Perak
Namun, punca sebenar di sebalik keputusan itu adalah kerana Nazirul Naim sudah tentu lebih selesa di negeri kelahirannya dengan dia kini masih berada di sana selepas membuka perniagaan kecil-kecilan.
Perusahaan menjual minuman berasaskan kopi tersebut dinamakan Coffee Street 21 yang sudah beberapa kali dikongsikan di laman Facebook sehingga peminat skuad TBG tidak putus-putus hadir memberi sokongan.
Tidak cukup dengan itu, bekas pemain kebangsaan tersebut turut menyediakan beberapa menu lain, termasuk manisan yang membuktikan dirinya berusaha membantu keluarga meskipun tidak lagi aktif di atas padang.
2. Amirul Azhan
Selain Nazirul Naim, seorang lagi anak jati Perak yang lama menabur bakti bersama kelab di Utara tanah air itu ialah bek kanan, Amirul Azhan yang mencatatkan debut bersama pasukan tersebut pada 2014.
Sepanjang tempoh berkenaan, pemain kelahiran Ipoh tersebut sempat menjulang Piala Malaysia 2018, menikmati pengalaman beraksi di Liga Juara-Juara AFC selain menyarung jersi kebangsaan.
Perusahaan nasi lemak berlauk menjadi pilihan Amirul Azhan selepas menamatkan karier. — Facebook/Oh My Perak
Bagaimanapun, masa depan bola sepak yang tidak menentu menyaksikan Amirul Azhan memilih untuk meninggalkan karier tersebut untuk mengikuti jejak Nazirul Naim membuka perusahaan kecil-kecilan.
Berdasarkan perkongsian ramai, dia yang baru berusia 31 tahun kini mengusahakan gerai dikenali sebagai The Makcik.co dibuka di Taman D.R Seenivasagam, Ipoh dengan ia sudah menjadi tumpuan penduduk di sana.
Perniagaan bertumpukan penjualan nasi lemak itu turut menyediakan beberapa pilihan lauk yang pastinya menjadi pilihan mereka yang mahu mencari makan malam dengan suasana menenangkan.
3. Khalid Jamlus
Berbeza daripada Nazirul Naim dan Amirul Azhan, karier perniagaan kecil-kecilan dibuka Khalid Jamlus seperti tidak begitu menjadi kerana empat tahun lalu, dia terpaksa menutup kedai makanan yang dibukanya.
Penyerang yang pernah digeruni satu ketika dahulu itu memilih untuk memulakan perusahaan tersebut di Kuala Langat, Selangor pada 2020, namun hanya bertahan untuk kira-kira sembilan bulan.
Khalid Jamlus di gerai menjual makanan yang pernah diusahakannya satu ketika dahulu.
Masalah itu disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda sehingga memaksa bekas pemain Perak tersebut menutup kedainya meskipun orang ramai cuba menyokong perniagaan tersebut.
Difahamkan, kedai makan itu dibuka Khalid menggunakan modal diraih selepas menjual Kasut Emas yang dimenanginya ketika meledak 17 gol bersama Perak pada 2002 dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan berkenan membelinya.
Jadi, selepas menyedari dunia perniagaan bukanlah jalan terbaik untuknya, dia kemudian memilih untuk menceburi bidang pengurusan seperti mana pernah dicuba bersama Harini FT dan Putrajaya Athletics. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram