Tambahan kuota pemain lokal, YCL kena bijak bentuk Imigresen FC dalam tempoh singkat


  • Podium
  • Sabtu, 02 Ogos 2025

Imigresen boleh menarik nafas lega selepas MFL mengumumkan tiga kouta pemain tempatan ditambah.

KETUA Jurulatih Imigresen FC, Yusri Che Lah menarik nafas lega selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan tambahan kuota tiga pemain tempatan sekali gus dapat membantu persiapan pasukan menjelang sepak mula Liga Super 2025/2026.

Selaku kelab baharu yang kali pertama akan beraksi di Liga Super, Yusri menyifatkan tambahan pemain tempatan itu dapat memberi ruang kepada beliau untuk membentuk skuad yang lebih baik memandangkan pasukan itu hadir daripada Liga A1 Semi Pro. 

Sekurang-kurangnya, Yusri mempunyai pilihan tambahan untuk mengenal pasti pemain sesuai bagi mengisi posisi yang sebetulnya untuk bantu Imigresen FC memberi tentangan terutamanya kepada kelab-kelab lain yang ada ramai pemain pembangunan.

BACA LAGI: 'Jangan harap lebih, top 5 sudah cukup gah untuk reputasi Eddy Gapil, Elavarasan'

BACA LAGI: NFA tak bermakna kes serangan asid Faisal Halim tidak boleh disiasat lagi — Azalina

Sebelum mengemudi Imigresen FC, Yusri Che Lah pernah membimbing Perak FC.

“Satu perkara yang amat baik apabila MFL bagi peluang untuk tambah tiga lagi kuota pemain tempatan sebab kita sedia maklum, sebagai kelab baharu, kita tiada pemain daripada Piala Presiden dan pemain daripada skuad pembangunan lain.

“Jadi penambahan seperti ini membolehkan saya sendiri untuk memilih dan mengenalpasti pemain yang mana dan di posisi mana yang perlu kita tambah lagi ikut keperluan pasukan.

“Jadi terima kasih kepada pihak MFL kerana mendengar juga keluhan pasukan-pasukan seperti kami yang baru dinaikkan ke Liga Super ini”, jelasnya.

Justeru, dengan pertambahan kuota tiga pemain tempatan, menjadikan keseluruhan 33 pemain boleh didaftarkan oleh semua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia 2025/2026.

Keputusan itu dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat khas baru-baru ini selepas mempertimbangkan permohonan tambahan kuota pemain tempatan daripada beberapa kelab khususnya daripada Liga A1 Semi Pro yang baharu dinaikkan taraf ke Liga Super musim ini.

Tambah Yusri, pasukannya baru sahaja dua minggu menjalani latihan bersama dan mereka perlu lebih aggresif untuk membentuk keserasian terbaik sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia minggu hadapan.

“Baru dua minggu sahaja pasukan bersama dan ini juga kali pertama pemain-pemain import saya menjalani latihan.

“Saya sedar dengan keadaan dan masa yang singkat untuk kami lakukan persiapan berbanding pasukan lain, tapi ini bukan alasan sebaliknya saya harus bijak untuk mengenal pasti pemain terbaik bagi berada dalam kesebelasan utama.

“Tapi sudah tentu, selain pemain tempatan, saya juga tagih kudrat pemain import yang saya ada sebab saya percaya, tanpa mereka juga agak sukar untuk kita menggerakkan pasukan”, katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram