YCL: Dari kisah perpindahan bernilai RM1 hingga jadi jurulatih disegani  


  • Podium
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Perlis akhirnya mengambil langkah 'sarkastik' dengan menetapkan nilai perpindahan Yusri hanya RM1.

BEKAS pengendali Perak FC, Yusri Che Lah kini secara rasmi dilantik sebagai Ketua Jurulatih Imigresen FC, yang akan menghadapi cabaran Liga Malaysia (Liga M) bagi kempen musim 2025/2026.

Pengumuman pelantikan dibuat selepas Yusri yang pernah memimpin The Bos Gaurus (TBG) bersedia menerima cabaran baru dengan membimbing pasukan pendatang baharu Liga Super itu, walaupun berdepan dengan bajet yang lebih terhad. 

Isu kekangan kewangan bukan perkara asing bagi Yusri berikutan ketika memimpin Perak FC, dia pernah melalui cabaran sama dengan sumber kewangan yang terhad, tetapi masih mampu mengekalkan prestasi kelab dan memastikan pasukan kekal kompetitif.

BACA LAGI: Kelab baru naik, bajet kecil bukan cabaran baharu buat YCL

BACA LAGI: Tambahan kuota pemain lokal, YCL kena bijak bentuk Imigresen FC dalam tempoh singkat

Imigresen FC merupakan kelab keempat dipimpin Yusri, dengan sebelum ini pengendali berusia 49 tahun itu pernah menguruskan Kelantan FA (2018, 2019-2021), Kuala Lumpur FA (2018-2019) dan Perak FC dari 2022 hingga 2025. 

Sebelum membuat profil disegani sebagai jurulatih, Yusri sudah terkenal sebagai seorang pemain berkualiti susulan pernah beraksi bersama beberapa pasukan seperti Perlis, Selangor, Perak dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ). 

Ketika beraksi bersama pasukan Perlis atau lebih dikenali sebagai Singa Utara pada musim 2025, terdapat kisah yang akhirnya menjadi titik perubahan menarik dalam karier pemain tengah itu.   

Aksi cemerlang Yusri bersama Perlis di bahagian tengah berjaya mencuri perhatian MPPJ FC, iaitu sebuah kelab gah yang ketika itu digelar 'Chelsea Malaysia' selepas mencipta sejarah sebagai pasukan daerah pertama menjuarai Piala Malaysia pada 2003. 

Yusri dilantik sebagai pengendali Imigresen FC bagi kempen musim 2025/2026. — Facebook/ImigresenFC

Bukan Yusri seorang saja yang menarik minat MPPJ kerana kelab Lembah Klang berkenaan juga membawa masuk pemain ternama negara seperti Kaironnisam Sahabudin.

Namun apa yang mencuri tumpuan bukan sekadar perpindahan itu sendiri tetapi nilainya apabila pada awalnya, Perlis meletakkan tanda harga RM100,000 ke atas Yusri, namun pihak MPPJ menganggap jumlah itu terlalu tinggi. 

Dalam suasana tawar-menawar yang tegang, Perlis akhirnya mengambil langkah ‘sarkastik’ dengan menetapkan nilai perpindahan Yusri hanya RM1, ia seakan-akan satu bentuk sindiran terhadap keinginan kuat Yusri untuk berpindah ke Lembah Klang.

Cerita berkenaan menjadi buah mulut peminat bola, sehinggakan anak jati Kangar, Perlis tersebut dipanggil 'pemain seringgit' dan akhirnya iar menjadi satu gelaran yang kekal hingga hari ini. 

Yusri (kiri) merupakan pemain terhangat untuk Singa Utara. — Facebook

Namun pada 2018, dalam satu pendedahan menerusi artikel Foxsports, Yusri tampil menjelaskan keadaan sebenar apabila berkongsi bahawa MPPJ sebenarnya membayar RM30,000 kepada Perlis, bukan RM1 seperti yang digembar-gemburkan media.

Lebih menarik, ketika MPPJ menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya, kontrak Yusri bersama Perlis pada waktu itu sebenarnya sudah tamat. 

Berdasarkan peraturan perpindahan antarabangsa (Bosman ruling), Yusri sepatutnya bebas menyertai mana-mana pasukan tanpa sebarang bayaran tetapi kelemahan dari segi pengurusan dan pemahaman peraturan dalam bola sepak Malaysia ketika itu, ia tetap melibatkan bayaran.

Yusri diberi kepercayaan melatih Perak sejak dari 2022 hingga 2025. — Facebook/PerakFC

Selepas semusim bersama MPPJ, Yusri meneruskan karier bersama Perak, sebelum kembali ke Perlis untuk kali terakhir dan seterusnya mengumumkan persaraannya. 

Dalam tempoh itu, Yusri juga sempat menyarung jersi kebangsaan, mengumpul 42 kaps dan menjaringkan 12 gol dengan ia merupakan satu rekod yang meletakkannya dalam kalangan pemain tengah tempatan yang dihormati. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram