
ISU pengurusan dialami Perak FC menimbulkan kemungkinan bahawa kelab Utara tanah air tersebut tidak akan bertanding dalam Liga Super musim depan kerana sukar mencari sumber kewangan kukuh.
Mereka yang baru sahaja cuba sembuh daripada masalah sama dihadapi kira-kira tiga tahun lalu terus bergelut meskipun pengerusi kelab, Datuk Seri Azim Zabidi menjelaskan pelaburan besar sudah dicurahkan.
Dalam perkongsian dibuat baru-baru ini, dia berkata, XOX Sport Sdn Bhd sebagai pemilik kelab menanggung kerugian daripada suntikan dana RM30 juta buat Perak FC sepanjang tiga tahun yang jelas tidak membawa sebarang keuntungan.
BACA LAGI: Clayton puas bantu Perak pecah rekod JDT, YCL harap pemain KDN tak putus asa
BACA LAGI: Terlepas Wilmar Jordan, Perak sekadar tangkap muat rekrut Clayton jadi pengganti
Masa depan skuad TBG menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong. — Facebook/Perak FC
Jadi, sekiranya skuad The Bos Gaurus (TBG) sah dibubarkan, pasti rata-rata pemain sudah mencari pasukan baharu demi karier masing-masing meskipun jendela perpindahan masih belum dibuka.
Ini termasuk kesemua pemain import yang pasti akan memilih untuk pulang ke negara sendiri sekiranya tiada sebarang tawaran dibuat kelab Liga Super bagi musim baharu.
Antara yang seperti sudah berbuat demikian ialah penyerang kelahiran Brazil, Clayton da Silva menerusi satu hantaran dengan kapsyen pendek, namun terselit 1,001 mesej tersirat.
"Keluarga Perak FC, latihan terakhir," tulisnya di Instastory pada Jumaat sambil menyertakan 'posting' kelab berkenaan yang pasti menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat tegar pasukan.
Hantaran Clayton di Instastory yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong.
Ini kerana ramai beranggapan hantaran terbabit secara tidak langsung menunjukkan penyerang itu tidak akan menyambung kontrak bersama skuad TBG meskipun hanya tiba pada awal musim.
Dia yang hanya pernah beraksi di Brazil dan Ukraine sebelum ini tidak kekok untuk menyesuaikan diri apabila berjaya mencatatkan lapan gol dan empat bantuan jaringan dalam 21 perlawanan.
Meskipun pulangan itu tidaklah begitu membanggakan, Clayton masih dijulang peminat Perak FC yang cukup teruja dengan kebolehannya mencipta persefahaman baik bersama rakan sepasukan lain.
Sementara itu, ada juga berpandangan hantaran penyerang berusia 29 tahun terbabit juga memberi bayangan kelab berkenaan akan 'terkubur' berikutan isu dalaman yang terus sepi tanpa sebarang berita.
Sekiranya perkara tersebut berlaku, ini menunjukkan arena bola sepak tanah air tidak menunjukkan sebarang kemajuan dengan orang ramai terus tertanya-tanya apakah langkah bakal diambil Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai badan pengelola. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram