Terengganu FC raih semangat daripada bas baharu, gandingan baharu


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Rabu, 30 Jul 2025

Bas baharu untuk Terengganu selepas memeterai kerjasama dengan TRA Holidays.

SEUMPAMA bas baru pasukan dengan prestasi optimum untuk melancarkan perjalanan, begitu jugalah harapan ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali, terhadap Terengganu FC yang berwajah baru untuk meninggalkan impak lebih besar pada musim 2025/2026 bermula bulan depan.

TFC menerima sebuah bas rasmi serba baharu berwarna hitam daripada TRA Holidays Sdn Bhd -- penaja kategori Silver dan penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi pasukan bagi tempoh lima musim – dalam satu majlis di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus pada Selasa.

“Kerjasama ini mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak negeri.

“Saya percaya melalui sokongan padu daripada syarikat seperti TRA Holidays, TFC mampu mara bukan sahaja dari segi pencapaian tetapi juga kestabilan pengurusan dan kewangan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, yang juga Pengerusi Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), di majlis itu.

BACA LAGI: Matyo jadi ‘poster boy’ KRW berebutkan sokongan peminat — Irfan Bakti

BACA LAGI: MFL hadapi cabaran besar kembalikan penonton ke stadium bagi musim 2025/26

Malam Selasa pula, skuad Peteh itu mengalahkan kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior (KRW) FC kendalian Irfan Bakti Abu Salim 6-0 dalam perlawanan persahabatan kedua terakhir di SSMZA – aksi timbal balik selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), Kota Bharu, 4 Julai lalu.

“Ia cuma perlawanan memanas badan buat kedua-dua pasukan menjelang musim baru, jadi keputusannya tidak boleh diambil kira sangat kerana situasinya dalam liga nanti akan sama sekali berbeza,” kata Badrul Afzan, yang bagaimanapun teruja melihat barisan penyerangnya memanfaatkan peluang terhidang.

Tiga penyerang baru pasukan -- Yann Mabella, 29, dari Republik Congo, serta dua import kelahiran Brazil, Raianderson da Costa Morais, 29, atau lebih dikenali sebagai Careca, dan Gabriel Silva masing-masing menyumbangkan dua gol dalam perlawanan itu.

Sejurus berakhir musim lalu, TFC melepaskan Manuel Ott, Ivan Mamut, Nelson Bonilla Argzim Redzovic dan Ismaheel Akinade, sebaliknya hanya mengekalkan pemain tengah dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov, 28. Dia disertai penyerang kelahiran Cameroon, Junior Ngong Sam, 27, serta bek tengah berasal dari Brazil, Diego Landis, 27, bagi musim baru ini.

Selain mereka, skuad Peteh turut mendapatkan khidmat dua bekas pemain Sri Pahang FC, Saiful Jamaluddin dan Baqiuddin Shamsudin, selepas skuad Tok Gajah itu menarik diri daripada saingan musim baru.

Bas baharu untuk skuad Terengganu.

Dalam persiapan pramusimnya, TFC telah mengharungi lapan perlawanan persahabatan. Selain terikat 2-2 dengan KRW, mereka menang 3-1 ke atas Penang FC di Kuala Terengganu pada 8 Julai.

Ini disusuli kunjungan ke Lembah Klang apabila mereka seri 2-2 dengan kelab Kemboja, Svay Rieng FC, 2-2 (15 Julai), seri 1-1 dengan UM Damansara United (16 Julai) dan mengalahkan sebuah lagi kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC, 4-1 (19 Julai).

TFC turut menjelajah ke negara jiran di mana mereka menundukkan Yala FC 5-1 pada 24 Julai di samping terikat 1-1 dengan Nara United (25 Julai). Kedua-dua kelab berpangkalan di Selatan Thailand itu beraksi dalam Liga 3 Thailand.

Sambil menyifatkan pemain-pemainnya sudah mencapai tahap 80 peratus keserasian, Badrul Afzan mengharapkan mereka terus konsisten, dengan perlawanan ujian terakhir menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) FC pada Sabtu ini bakal memberi bayangan kesebelasan utama yang bakal membawa cabaran pasukan.

TFC akan memulakan kempen musim baru dengan berkunjung ke gelanggang Penang FC pada 10 Ogos, seterusnya jadi tuan rumah kepada PDRM FC pada 13 Ogos dan terbang ke Bandar Seri Begawan untuk menjadi tetamu DPMM FC pada 22 Ogos.

Skuad Terengganu hanya mengguna enam pemain import musim ini.

Dalam aksi pusingan 16 terakhir Piala FA pula, mereka akan berdepan pendatang baru, Imigresen FC, di tempat lawan pada 16 Ogos.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan pemain dalam latihan dan perlawanan persahabatan. Ada peningkatan dan persefahaman pemain lama dan baru juga semakin baik, semuanya setakat ini positif.

“Cuma saya perlu beri masa sedikit masa lagi kepada bek import terbaru kami (Landis yang berpindah dari kelab Liga 2 Thailand, Khon Kaen United). Dia masih berusaha menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan persekitaran baharu,” kata jurulatih berusia 48 tahun itu.

Satu lagi khabar melegakan ialah kembalinya penjaga gol, Suhaimi Husin, selepas pulih daripada pembedahan lutut Disember lalu. Perlawanan menentang KRW FC pada Selasa hanyalah perlawanan kedua dia diturunkan.

Badrul Afzan turut tidak melihat enam pemain import – berbanding 15 yang dibenarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi sesebuah pasukan untuk musim baru – sebagai memberi ketidakseimbangan kepada pasukannya dibandingkan dengan lawan yang memiliki lebih ramai.

“Biarlah enam saja asalkan berkualiti dan sanggup berhabis-habisan berbanding sembilan (import musim lalu) tapi hanya empat yang benar-benar menyumbang kepada pasukan,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram