YCL pilihan ideal, cuma apa salahnya coach muda demi idea 'fresh' — Safee Sali


  • Podium
  • Jumaat, 01 Ogos 2025

Yusri tidak terikat dengan mana-mana pasukan dan pengalamannya bersama Perak FC membuktikan nilai tersendiri dimilikinya.

PERSIAPAN akhir sibuk dilakukan setiap pasukan Liga Super bagi kempen akan datang apabila rata-rata daripadanya sudah mengumumkan barisan pemain dan kejurulatihan.

Ini bagi memastikan setiap misi dipasang mampu dicapai selepas pelaburan besar dibuat bagi memastikan cabaran terbaik dapat diberikan dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain.

Namun, berbeza pula situasi dihadapi pendatang baharu, Imigresen FC yang ketika ini masih sepi tanpa sebarang perkhabaran meskipun kerap kali meniti bibir peminat pada awal tempoh pramusim lalu.

BACA LAGI: Safee Sali umum letak jawatan, legenda Selangor calon sesuai terajui PFAM

BACA LAGI: Ramai boleh jaringkan gol, tapi sukar cari penyerang tulen — Safee Sali

Tiada sebarang pengumuman baharu dibuat berhubung Imigresen FC. Facebook/Imigresen FC

Lihat sahajalah keputusan berhubung venue tetap pasukan dengan isu tersebut hanay dinoktahkan selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang akan digunakan.

Lebih merisaukan lagi, dengan hanya kira-kira seminggu sebelum saingan Liga Super 2025/26 bermula, kelab itu boleh diibaratkan seperti kapal tanpa nakhoda selepas tiada lagi ketua jurulatih diumumkan.

Laporan terdahulu menyatakan pengendali terdahulu, Mat Zan Mat Aris sudah digugurkan bagi memberi laluan kepada pengganti lebih berkarisma yang mempunyai pengalaman luas dalam divisyen teratas.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, pihak pengurusan masih membisu berhubung hal tersebut dengan penyokong terus tertanya-tanya akan hala tuju pasukan terbabit.

Hal tersebut turut menggusarkan legenda bola sepak tempatan, Safee Sali yang melihat isu akan menimpa Imigresen FC sekiranya tiada persiapan terbaik dibuat pihak pengurusan.

Safee Sali bersetuju sekiranya Imigresen FC menggunakan khidmat Yusri bagi saingan musim depan.

"Sebagai pendatang baharu dalam Liga Super, saya menjangkakan mereka akan menghadapi masalah kerana jika tidak melakukan persiapan awal untuk turun 'berperang', mereka sememangnya tidak bersedia.

"Saya harap perkara ini diselesaikan awal, iaitu dari segi pengumuman pemain dan barisan kejurulatihan kerana peminat ingin tahu jurulatih dan corak permainan bakal diterapkan," katanya kepada Majoriti.

Imigresen FC sebelum ini disebut-sebut akan membawa masuk bekas pengendali Perak FC, Yusri Che Lah yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas pembubaran kelab itu.

Sekiranya keputusan berkenaan diambil, Safee yang pernah beraksi buat Harimau Malaya cukup teruja kerana jurulatih kelahiran Perlis itu memiliki pengalaman luas.

"Ramai yang boleh membimbing Imigresen FC tetapi khabar angin mengatakan Yusri Che Lah akan dipilih, saya setuju dengannya kerana berpengalaman bersama Perak FC sebelum ini," katanya lagi.

Nanthakumar berada dalam senarai jurulatih muda yang mencuri perhatian Safee. Facebook/Negeri Sembilan FC

Meskipun tidak pernah menceburkan diri dalam dunia kejurulatihan, bekas penyerang negara itu cukup peka dengan arena bola sepak tanah air kerana sudah bergelar pundit sejak kira-kira dua tahun lalu.

Peluang memerhatikan sukan berkenaan secara dekat membuatkan Safee sesuai diletakkan dalam kalangan pemerhati relevan dengan pandangannya akan kelab baharu Liga Super terbabit dibuat dengan hujah kukuh.

Ketika ditanya mengenai pilihannya secara peribadi, dia menyatakan adalah tidak salah juga sekiranya Imigresen FC menggunakan khidmat jurulatih muda yang boleh menyajikan idea baharu dan bernas.

"Saya suka dengan prospek pengendali muda, seperti Wan Rohaimi (Wan Ismail), Akmal Rizal serta K Nanthakumar dan ada ramai lagi berpotensi. Kita perlukan idea baharu untuk memodenkan lagi permainan bola sepak tempatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram