
PRESTASI Selangor FC sepanjang pramusim di Thailand sememangnya mengecewakan apabila mereka gagal menundukkan lawan dari divisyen teratas dengan keputusan baik hanya direkodkan ketika berdepan kelab bawahan.
Ini merupakan satu petanda buruk buat pasukan yang sepatutnya menampilkan persembahan terbaik selepas menamatkan Liga Super 2025/26 di tangga kedua, sekali gus melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.
Lebih merisaukan lagi, skuad Gergasi Merah turut menampilkan aksi hambar ketika seri tanpa jaringan berdepan Asia Warriors FC pada Ahad lalu yang hanya dibarisi pemain yang sudah bersara.
BACA LAGI: Saya tak boleh jamin Fazly Mazlan ada tempat di Selangor — Kinoshi
BACA LAGI: Rebah 2 kali di bumi Thailand, Katsuhito Kinoshi perlu segera cari pengganti Orozco, Safuwan
Tumpuan ditujukan kepada Kinoshi dalam membawa kestabilan terhadap skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Sekiranya persembahan sebegitu terus ditampilkan, tidak mustahil sekiranya pasukan Merah Kuning itu akan sekali lagi dimalukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pertembungan Piala Sumbangsih pada 8 Ogos depan.
Jadi, tumpuan sudah tentu diberikan kepada pengendali, Katsuhito Kinoshi yang perlu membuat beberapa keputusan utama dalam memastikan Selangor FC kembali digeruni.
Meskipun tugasan itu akan dipikul jurulatih dari Jepun tersebut, Majoriti berpandangan terdapat tiga isu penting perlu dititikberatkan selain diselesaikan menjelang musim 2025/26.
1. Dilema jentera serangan
Sepanjang jendela perpindahan kali ini, skuad Gergasi Merah mengalu-alukan kehadiran tiga pemain baharu di posisi serangan iaitu Willian Lira dan Chrigor Moraes sebagai penyerang utama sementara Zach Clough akan memperkuatkan sayap sebelah kanan pasukan.
Penyusunan terbaik perlu dibuat Kinoshi kerana masing-masing semestinya memerlukan tempat dalam kesebelasan utama dengan penggliran kerap pasti sukar diterima.
Dilema berkenaan sudah melanda ketika aksi menentang Asia Warriors FC tempoh hari apabila Chrigor terpaksa beraksi sebagai pemain sayap kanan bagi memberi laluan buat Willian Lira.
Chrigor (kiri) diletakkan sebagai pemain sayap meskipun lebih selesa menerajui jentera serangan. — Facebook/Selangor FC
Meskipun bekas pemain Buriram United itu memikul peranan tersebut dengan baik, ia merupakan kerugian kerana dia perlu mencipta peluang berbanding menyudahkan umpanan seperti mana dilakukan sebelum ini.
Itu merupakan satu daripada isu jentera serangan yang perlu diselesaikan Selangor FC kerana Kinoshi perlu memutuskan skuad terbaik jika mahu mengekalkan momentum terdahulu.
2. Pilih gandingan 'trio' terbaik
Sepanjang membimbing skuad Gergasi Merah, Kinoshi melakukan beberapa siri eksperimen di posisi tengah apabila memilih gandingan tiga serangkai berbeza dalam formasi 3-5-2 yang digunakan.
Contohnya, musim lalu, Selangor FC beberapa kali meletakkan Nooa Laine, Yohandry Orozco dan Aliff Haiqal Lau dengan penggiliran kerap kali disaksikan.
Isu tersebut dijangka melanda pasukan itu sekali lagi berikutan kepulangan Noor al-Rawabdeh dari kecederaan selain kemasukan Pitcha Autra sebagai rekrut baharu.
Kepulangan Noor merunsingkan Kinoshi dalam menyusun jentera tengah pasukan. — Facebook/Selangor FC
Jadi, keputusan terbaik perlu dilakukan ketua jurulatih Gergasi Merah untuk memastikan posisi tengah pasukan stabil dari segi serangan dan pertahanan.
Pilihan paling sesuai ketika ini sudah tentu dengan meletakkan Noor sebagai 'enjin utama' sementara Nooa Laine dan Pitcha ditugaskan mematahkan serangan.
Perubahan sudah tentu akan disaksikan dari perlawanan ke perlawanan melihat kepada keperluan dan kecederaan pemain dengan keputusan itu semestinya penting buat skuad Gergasi Merah.
3. Penggiliran 'ubi muda'
Meskipun tidak berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini, Selangor FC diperkuatkan dengan kehadiran pemain muda yang dibawa masuk dari skuad simpanan.
Omid Musawi, Haykal Danish dan Muhammad Abu Khalil merupakan antara yang dinaikkan pangkat selepas membuktikan kematangan masing-masing di peringkat belia sebelum ini.
Ini merupakan satu lagi bentuk dilema buat Kinoshi kerana 'ubi muda' pasukan memerlukan minit permainan mencukupi bagi mengasah bakat sebelum dapat menjadi tonggak Gergasi Merah.
Muhammad Abu Khalil dinaikkan pangkat bagi memberi pelbagai pilihan buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Tetapi, memandangkan pasukan itu sudah dibanjiri pilihan, ia akan menjadi tugasan tambahan buat pengendali berusia 60 tahun itu untuk meletakkan mereka.
Pilihan terbaik sudah tentu dengan memasukkan mereka pada minit akhir permainan atau ketika berdepan pasukan bawahan sebelum kepercayaan penuh dapat diberikan.
Namun, persoalannya, adakah peluang dihidangkan itu sudah cukup untuk membuktikan kesesuaian masing-masing demi pembangunan 'ubi muda' seperti mana kerap diharapkan penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram