
PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi mengisytiharkan semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara bakal bercuti pada Isnin.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi hantaran ringkas di akaun Facebook peribadinya dengan tidak menyatakan sebab keputusan itu dibuat, namun berkemungkinan disebabkan kejayaan MRSM Balik Pulau dalam pentas akhir Super School Rugby (SSR) 2025.
Sekolah berkenaan mengejutkan Victoria Institution (VI) dalam perlawanan yang berlangsung di Putrajaya pada Ahad meskipun pihak lawan itu lebih berpengalaman dalam sukan terbabit.
BACA LAGI: SSR 2025: Fizikal, pengalaman VI tak gentarkan MRSM Balik Pulau
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Setiap kesilapan merugikan’, coach MCKK akui saingan SSR 2025 makin mencabar
MRSM Balik Pulau yang menggunakan nama BP Cougars mencatatkan keputusan 14-13 dalam pertembungan yang cukup mendebarkan dan disaksikan ratusan peminat sukan ragbi serta ibu bapa pemain.
VI yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan cukup dikenali sebagai VI Blues merupakan pasukan pilihan dalam edisi kali setelah menjuarai SSR dua kali, iaitu pada 2017 dan 2023.
Bagaimanapun, kesungguhan BP Cougars yang baru pertama kali melangkah ke perlawanan akhir sememangnya mengejutkan dengan kejayaan itu cukup untuk membuatkan Asyraf Wajdi membuat pengumuman sebegitu.
Untuk rekod, MRSM Balik Pulau melangkah ke pentas akhir SSR kali ini selepas menumpaskan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) sementara VI Blues menyingkirkan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram