
DUA kekalahan berturut-turut yang dialami Selangor FC dalam siri aksi pramusim di Thailand nyata memberi isyarat jelas kepada ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi untuk segera memperkemas skuad.
Malah ada yang berasakan posisi ditinggalkan bekas pemain import, Yohandry Orozco dan Safuwan Baharudin merupakan salah satu punca kekalahan tersebut.
Dalam perlawanan pertama, skuad Red Giants tewas tipis 0-1 kepada Ratchaburi FC, sebelum dikecewakan pula oleh Chonburi FC dengan keputusan 1-2 dalam aksi kedua.
BACA LAGI : Dari Lembah Klang ke Borneo, kredibiliti, bintang 3 kelab jadi pencabar terkuat JDT musim depan
BACA LAGI : Ex-striker Sabah tiada rezeki di Vietnam, 3 kelab termasuk Kuching City boleh jadi majikan baharu
Lebih mengecewakan, Selangor FC terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Willian Lira pada aksi kedua, namun gagal mempertahankan kelebihan apabila Chonburi bangkit menerusi sepakan penalti Adisak Kraisorn dan gol kemenangan oleh Tontowan Puntamunee.
Chonburi FC merupakan juara Thai League 2 musim 2024/25, namun kekalahan ini menimbulkan tanda tanya terhadap tahap kesediaan Selangor FC menjelang saingan Liga Malaysia yang semakin hampir.
Melihat kepada prestasi semasa pasukan, Kinoshi perlu segera membawa masuk pemain baharu yang lebih berkualiti dan versatil, khususnya di bahagian tengah dan pertahanan.
Antara nama yang disebut-sebut sesuai mengisi kekosongan tersebut ialah:
Diego Lopes
Diego Lopes adalah bekas pemain Lion City Sailors dan kini berstatus ejen bebas. — Agensi
Diego Lopes adalah bekas pemain Lion City Sailors yang mempunyai pengalaman luas di Asia Tenggara dan pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Lopes merupakan pemain tengah yang berpengaruh dan beraksi dalam 85 perlawanan untuk Lion City Sailors, menjaringkan 31 gol sepanjang tiga tahun bersama pasukan tersebut.
Pemain berusia 31 tahun itu juga pernah mencipta sejarah dengan membantu Lion City Sailors meraih kemenangan pertama mereka di ACL, termasuk menjaringkan gol penting dalam perlawanan tersebut.
Selain itu, Lopes juga pernah membantu pasukannya menjuarai Liga Persana Singapura pada 2021.
Sehubunan itu, dengan pengalaman dan prestasi yang dimilikinya, Diego Lopes dilihat mampu mengisi peranan penting sebagai pengganti Orozco dalam barisan tengah pasukan.
Thom Haye
Thom Haye memiliki pengalaman luas beraksi di Eropah sebelum menyertai pasukan-pasukan di Asia Tenggara. — Agensi
Thom Haye adalah pemain tengah berdarah Belanda-Indonesia yang kini berstatus ejen bebas.
Memiliki pengalaman luas beraksi di Eropah sebelum menyertai pasukan-pasukan di Asia Tenggara, pemain berketinggian 1.87 meter juga pernah mewakili skuad kebangsaan Indonesia.
Kehadirannya dilihat mampu memperkukuh jentera tengah pasukan Red Giants yang dilihat agak longgar dalam aksi pramusim baru-baru ini.
Pengalaman dan kemahiran Haye di posisi tengah menjadikan beliau aset berharga untuk memperbaiki struktur tengah pasukan yang memerlukan kestabilan dan kreativiti.
Justin Hubner
Justin Hubner dilihat sesuai mengisi kekosongan yang dtinggalkan Safuwan Baharudin. — Agensi
Pemain pertahanan tengah naturalisasi Indonesia, Justin Hubner kini secara rasmi dilepaskan oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolverhampton Wanderers (Wolves) sekali gus membuka ruang buat mana-mana kelab Asia Tenggara mendapatkan khidmatnya.
Gaya permainan moden serta kecergasan fizikal tinggi dilihat sepadan dengan falsafah bola sepak Kinoshi yang cenderung memilih pemain muda berbakat.
Bagi Selangor FC, kehilangan sentuhan berpengalaman Safuwan Baharudin di barisan pertahanan mencetuskan keperluan untuk mencari pengganti yang bukan sahaja berkaliber.
Justin dilihat sesuai mengisi kekosongan itu, terutamanya apabila skuad Red Giants memerlukan pemain yang mampu memulakan serangan dari belakang.
Gandingannya bersama Mohammad Abualnadi atau Harith Haiqal juga berpotensi menjadi tunjang utama barisan pertahanan Merah Kuning untuk tempoh jangka panjang.
Dengan masa yang semakin suntuk sebelum sepak mula liga, penyokong Selangor FC pastinya mengharapkan tindakan segera daripada pihak pengurusan dalam memperkuatkan skuad agar episod ‘tersungkur di bumi Thailand’ tidak berulang dalam pentas sebenar nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram