
KEMBALINYA beberapa bekas pemain Liga Malaysia (Liga M) ke saingan Liga Super musim 2025/2026 mencetuskan perhatian peminat bola sepak tanah air.
Namun, berbeza dengan penampilan sebelum ini, mereka kini hadir dengan cabaran baharu apabila memilih untuk menyarung jersi pasukan yang berlainan.
Langkah itu bukan sahaja menguji kemampuan mereka untuk menyesuaikan diri dalam suasana baharu, malah turut menjadi medan untuk membuktikan bahawa mereka masih relevan dalam kancah bola sepak tempatan.
BACA LAGI: Remote VAR: Kos efektif namun ada isu termasuk ‘delay-buffering’ — Pekan Ramli
Namun persoalannya, mampukah mereka mengekalkan prestasi cemerlang seperti yang pernah dipamerkan sebelum ini kerana saingan Liga Super musim depan dijangka berlangsung dengan lebih sengit berikutan peningkatan kualiti pasukan.
Setakat ini, dua daripada pemain yang kembali telah memberikan isyarat awal bahawa mereka masih berbisa apabila masing-masing berjaya meledak gol dalam aksi persahabatan pramusim.
Namun, nasib kurang menyebelahi seorang lagi pemain yang dilihat masih tercari-cari rentak bersama kelab baharunya, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada dia mampu bangkit dan kembali menemui sentuhan berbisa yang pernah menjadikannya antara pemain paling digeruni suatu ketika dahulu.
1. Willian Lira (Selangor FC)
Bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Willian Lira kini mencuri perhatian dalam saingan Liga Super 2025/2026 setelah menyertai Selangor FC.
Lira yang mencatatkan prestasi cemerlang bersama KDA FC dengan lapan gol dalam 14 perlawanan Liga Super 2023 membawa pengalaman luas dari liga tempatan dan antarabangsa ke pasukan Gergasi Merah.
Walaupun dikenali sebagai penyerang berbisa, Lira kini masih berusaha mencari rentak terbaik bersama Selangor FC.
Lira (kanan) masih bergelut menemui rentak bagi membantu pasukan menjaringkan gol. — Facebook/Selangorfc
Dalam aksi pramusim di Thailand menentang Bangkok FC, dia berjaya menjaringkan satu gol dalam kemenangan 3-1, namun ketajamannya masih menjadi tanda tanya selepas persembahan hambar ketika menentang Asia Warriors FC yang dibarisi bekas legenda bola sepak Asia.
Kehadiran Lira disifatkan penting untuk mengasah jentera serangan Selangor yang dilihat kurang menyerlah, lebih-lebih lagi dengan cabaran getir menentang juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 8 Ogos nanti.
Penyokong Gergasi Merah tentunya menaruh harapan agar bekas penyerang KDA itu mampu membuktikan kembali ketajamannya dan memberikan impak segera di pentas Liga M musim ini.
2. Careca (Terengganu FC)
Pemain kelahiran Brazil, Raianderson da Costa Morais yang lebih dikenali sebagai Careca mempunyai rekod gol yang cukup mengagumkan sepanjang beraksi dengan Perak FC dari 2019 hingga 2021.
Dalam tempoh tersebut, Careca mencatatkan 16 penampilan liga dan berjaya menjaringkan sembilan gol untuk Perak FC, menunjukkan kemantapan dan ketajamannya sebagai pemain tengah menyerang.
Baru-baru ini, Careca yang kini menyarung jersi Terengganu FC (TFC) telah membuktikan kebolehannya sekali lagi dalam sesi perlawanan pramusim.
Dalam perlawanan tersebut bersama skuad Sang Penyu, Careca berjaya mencetak empat gol penting ketika menentang pasukan Yala FC, Phnom Penh Crown FC dan Preah Khan Reach Svay Rieng, menunjukkan bahawa dia adalah aset besar untuk TFC dalam menghadapi saingan Liga M.
Careca kini mencetak empat gol buat Sang Penyu dalam aksi pramusim. — Facebook/TFC
Kehadiran Careca dilihat sebagai pelengkap kepada barisan serangan Sang Penyu, memandangkan pengalaman luasnya bertanding di Liga M serta pernah beraksi di liga Brazil dan Korea Selatan.
Dengan kemahiran mengawal bola, mencipta peluang serta penyudah yang tajam, Careca dijangka menjadi senjata rahsia skuad Peteh menjelang saingan Liga Super yang akan bermula pada bulan Ogos nanti.
Careca menunjukkan ketajaman dan konsistensi dalam mencetak gol walaupun hanya aksi pramusim, membuktikan dirinya sebagai aset penting dalam misi kejayaan TFC musim ini.
3. Ronald Ngah Wanja (Kuching City FC)
Penyerang berbisa kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja terus mencuri tumpuan penyokong bola sepak tanah air selepas membuat keputusan berani untuk berhijrah ke Borneo dengan menyertai Kuching City FC pada musim ini.
Ngah Wanja bukan nama asing dalam kancah bola sepak Malaysia, terutamanya ketika beliau mengharungi musim penuh bersama KDA FC pada 2022.
Dalam musim tersebut, beliau menjaringkan 13 gol dalam 21 penampilan liga dan menjadi tonggak serangan pasukan.
Prestasi cemerlang itu turut merangkumi kejayaan meraih gol terbaik pada peringkat kumpulan Piala AFC 2022 dengan jaringan berkualiti ketika menentang Visakha FC di Bali.
Ngah Wanja (kiri) kini menunjukkan taring dengan mencetak dua gol buat The Cats dalam aksi pramusim. — Facebook/Kuchingcityfc
Selepas meninggalkan Kedah, Ronald Ngah Wanja diumumkan sebagai rekrut baharu Kuching City FC, walaupun kelab itu sudah pun memiliki barisan penyerang yang mantap.
Namun, Ngah Wanja membuktikan bahawa beliau masih tajam apabila mencatatkan dua gol dalam aksi pramusim bersama The Cats baru-baru ini ketika bertemu Dewa United dan Garudayaksa, memperlihatkan sentuhan gol yang masih relevan dan berbahaya di depan gol lawan.
Dengan pengalaman luas dan ketajaman sentuhan gawang, Ronald Ngah dijangka akan menjadi senjata utama Kuching City FC dalam mengharungi musim Liga Super yang bakal bermula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram