
TIGA gelanggang – Stadium Paroi, Stadium Selayang dan Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) – digelar ‘stadium berhantu’ pada musim Liga Malaysia 2024/2025 gara-gara kerap lengang ketika perlawanan berlangsung hingga diselorohkan ada lebih ramai anggota polis bertugas daripada jumlah penonton yang hadir.
Jumlah penonton dalam sesetengah perlawanan di gelanggang berkenaan tidak pun cukup untuk hasil jualan tiket bagi menampung sewa stadium dan kos elektrik lampu limpah – betapa ia satu hakikat yang cukup memedihkan.
Ambil contoh pasukan di tangga kedua terbawah liga musim lalu, Negeri Sembilan FC. Enam perlawanannya di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi mencatatkan purata kehadiran kurang daripada 500 orang, dengan pertemuannya dengan Sri Pahang FC yang dimenangi mereka 2-1 pada 10 Januari lalu cuma dihadiri 346 orang berbanding kapasiti 45,000 orang.
BACA LAGI: Remote VAR: Kos efektif namun ada isu termasuk ‘delay-buffering’ — Pekan Ramli
Tapi Negeri Sembilan FC bukanlah pasukan dengan catatan terendah penonton, sebaliknya ‘penghormatan’ itu menjadi milik PDRM FC yang cuma ditonton 117 orang ketika melayani kunjungan Kuching City FC ke Stadium Selayang, 11 Januari lalu.
Bukan sebagai pasukan yang memiliki gerombolan penyokong yang besar, The Cops sudah kerap mencatat kehadiran di bawah 1,000 orang -- 631 ketika menentang Penang FC (25 Mei), 364 menentang KL City FC (16 Ogos), 416 menentang Sabah FC (21 September), dan 170 menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC (18 Disember).
Stadium Selayang antara venue perlawanan yang dilabel ‘berhantu’ musim 2024/2025.
Tiada bezanya dengan KDN FC – pasukan yang awalnya gah dengan menandatangani secukupnya kuota sembilan pemain import pada pramusim tetapi hilang kesemuanya, termasuk ketua jurulatih, Park Jae-hong, dalam beberapa perlawanan terakhir menuju penghujung musim.
Ketika berdepan Terengganu FC di Kota Bharu – dahulunya dikenali sebagai derby Pantai Timur yang sentiasa menarik minat ramai – pertemuan pada 4 Disember itu sekadar ditonton 187 orang, meninggalkan ruang-ruang kosong di SSMIV yang pernah gah dengan sambutan papan tanda “This is Kota Bharu” yang sudah jenuh menggerunkan pasukan pelawat. Tapi tidak lagi demikian.
Sudah tentu pasukan-pasukan ini mengharapkan perubahan nasib pada musim baru bermula 8 Ogos nanti, dengan masing-masing melakukan penambahbaikan dengan membawa masuk muka-muka baru di samping turut mendatangkan ketua jurulatih berbeza.
Selepas pergantungan kepada dua jurulatih, Azzmi Aziz dan K. Nanthakumar, tapi pasukan kekal di kelompok corot hingga akhir musim, NSFC menyandarkan harapan kepada Nidzam Jamil – jurulatih yang meletak jawatan bersama Selangor FC selepas diaibkan 1-6 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam final Piala FA pada 24 Ogos.
Sejauh mana Nidzam mampu menyuntik perubahan dengan menyalin ganti tenaga import pasukan – antaranya bek tengah Luis Enrique Nsue, pemain tengah Alex Agyarkwa, penyerang, Joseph Esso dan Jovan Motika – harus menarik untuk diikuti. Peningkatan ke kelompok pertengahan akan dianggap satu pencapaian.
Skuad Jang kini memiliki ramai pemain berkualiti antaranya Alex Agyarkwa (tengah) yang dijangka mampu menarik kehadiran penyokong ke stadium. — Facebook/NSFC
Ketibaan Park Tae-su dari Sabah FC untuk bergandingan dengan bek tengah Noel Agbre, pemain tengah Ahmed Israiwah dan Um Deok pula bakal mengubah wajah The Cops yang tiada lagi Idefayo Olusegun, Bruno Suzuki dan Faith Obilor tapi mampukah mereka mengekalkan tangga kesembilan?
Bersama sentuhan Tan Sri Annuar Musa selaku penasihat pasukan, KDN FC yang dijenamakan semula sebagai Kelantan The Real Warrior (KTRW FC) musim ini bercita-cita besar dengan menandatangani 10 tenaga import -- Ifedayo Olusegun, Prince Aggreh, Damyan Damyanov, Hein Htet Aung, Albert Kang, Alexandre Yeoule, Muayad Al Khouli, Simen Lyngbo, Abdul Sesay dan Yusuf Sesay.
Bukan menyindir tapi persoalan yang bermain di fikiran ramai ialah berapa antara mereka yang akan kekal hingga penghujung musim.
Atau apakah KTRW FC perlu bersaing dengan Kelantan Red Warrior (KRW FC) bimbingan jurulatih veteran, Irfan Bakti Abu Salim, yang akan bersaing dalam Liga A1 Semi-Pro dalam berebutkan penyokong tegar Kelantan yang mendambakan ulangan kegemilangan kejayaan ‘treble’ Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2012?.
Mengambil pengajaran daripada musim 2024/2025, cabaran terbesar buat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pentadbir liga ialah mengembalikan sokongan ramai dengan berlatarbelakngkan senario kurang positif – penarikan diri Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC daripada Liga Super, minat penonton yang makin merosot dan dominasi hanya sebuah pasukan sambil yang lain terkapai-kapai.
Ia bukan kerja MFL untuk mengehadkan peningkatan berterusan JDT di sebalik pengenalan kuota 15 pemain import pada musim baru cenderung dilihat sebagai menguntungkan Harimau Selatan yang sasaran lebih besarnya ialah Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE). Turut memiliki sebilangan pemain warisan, JDT beroleh kedalaman skuad untuk digilirkan yang hanya mampu dicemburui pasukan-pasukan pesaing.
Ribuan penyokong dijangka membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV bagi menyokong wakil Pantai Timur.
“Usah hiraukan sangat JDT, biarkan mereka terus juara. Anggap saja setiap pasukan akan menyumbang enam mata kepada Harimau Selatan sedangkan pasukan-pasukan lain harus menumpukan kepada perlawanan selebihnya untuk jadi naib juara selain berharap untuk membuat kejutan dalam aksi piala,” kata seorang jurulatih yang enggan dinamakan.
Benar seperti dikatakannya jurang dengan juara liga 11 musim berturut-turut itu sudah melebar pada ketika pasukan lain yang mampu mendapatkan sembilan pemain import – jumlah maksimum yang boleh didaftarkan untuk satu-satu perlawanan – atau kurang dari itu.
Pada 9 Julai lalu, MFL mengumumkan pindaan kuota pemain import di atas padang dikurangkan daripada tujuh kepada enam pemain selepas membuat pertimbangan semula impak kepada Liga Malaysia dan juga perkembangan pemain tempatan.
Berdasarkan pindaan itu, kuota pemain import di atas padang kini berubah menjadi seramai 6+3 (simpanan) bersama komposisi 4 Terbuka + 1 Asia + 1 Asean. Apakah ia dapat memberi keseimbangan kekuatan pasukan-pasukan? Jawapannya tidak.
Dan apakah ketidakseimbangan kekuatan dapat mengembalikan minat penonton untuk ke stadium? Jawapannya juga tidak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram