KEJOHANAN Bawah 19 Tahun (B-19) Asean 2024 bakal membuka tirainya pada 17 hingga 29 Julai nanti yang menyaksikan Indonesia sebagai tuan rumah bagi pertandingan tersebut.
Di atas kertas, pasukan kebangsaan yang diundi dalam Kumpulan C bersama Thailand, Singapura dan Brunei itu dilihat mempunyai laluan mudah untuk mara ke peringkat seterusnya.
Meskipun begitu, skuad Harimau Muda dijangka berdepan kesukaran untuk melepasi peringkat kumpulan dengan perkara itu diakui penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli.
BACA LAGI: 'Agak sukar untuk MFL betul-betul laksanakan FFP'
BACA LAGI: AFF B-19: Laluan mudah hanya atas kertas, bola itu bulat, kurangkan bercakap — Penganalisis
Sebahagian aksi antara skuad B-19 kebangsaan berdepan cabaran Kemboja dalam perlawanan latihan tertutup yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri dengan 2-2. — Facebook/FAM
Pekan berkata kepada laporan Majoriti sebelum ini, Malaysia dijangka berdepan kesukaran untuk mara ke pusingan seterusnya.
"Laluan mudah mungkin di atas kertas sahaja. Bola itu bulat, jangan hanya nampak Thailand penghalang kita, entah-entah Singapura pun sukar nak kita tewaskan atau Brunei yang dipandang rendah pula yang memalukan kita.
"Jadi, 'moral of the story', buktikan kehebatan, kurangkan bercakap, lebihkan usaha dan pastikan kemenangan, itu saja," tegasnya.
Perkara tersebut turut dipersetujui oleh bekas pengendali skuad Bawah 16 Tahun (B-16), S. Balachandran.
Menurutnya, Malaysia mempunyai peluang untuk menewaskan Singapura dan Brunei namun dijangka bergelut untuk menundukkan Thailand.
Sesi latihan skuad Harimau Muda menjelang Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Asean 2024. — Facebook/FAM
"Jika melihat untuk ke dua tempat teratas, Malaysia boleh kerana kita boleh tewaskan Brunei dan Singapura pun boleh. Tetapi, Thailand akan menjadi sukar, untuk kedudukan kedua, mungkin boleh.
"Cabarannya, mungkin Thailandlah. Untuk Singapura pula, pertandingan belia mereka mungkin tidak cukup baik dan saya rasa Malaysia lebih baik.
"Saya rasa tiada halangan kerana pemain B-19 dibawa dari liga dan pertandingan seperti Piala Belia. Jadi, mereka ada kebolehan," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, Malaysia masih mempunyai peluang untuk melepasi peringkat kumpulan namun perlu berwaspada dengan cabaran Australia.
"Di Asia Tenggara ni, Malaysia, Thailand dan Vietnam yang memiliki liga belia yang bagus dengan negara lain tidak memiliki liga sendiri. Jadi, saya rasa tiada masalah untuk kita melepasi halangan peringkat awal.
"Dalam kumpulan lain, ada Vietnam, Indonesia, ada Australia. Jadi, saya rasa akan sukar Malaysia nak bergelar juara dalam Piala AFF sekiranya ada Australia," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram