
WALAUPUN hanya selangkah ke separuh akhir, Indonesia tetap memburu kemenangan penuh ke atas Harimau Muda dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala Mandiri Asean Bawa 23 tahun (B-23) yang bakal berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada Isnin.
Skuad kendalian Gerald Vanenburg hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke peringkat seterusnya tetapi kekalahan dengan margin lebih daripada dua jaringan akan menyaksikan mereka tersingkir dari kejohanan yang berlangsung di tanah air sendiri.
Bagi penyokong fanatik mereka, La Grande Indonesia, pertemuan menentang Malaysia bukan sekadar perebutan matam ia membawa simbolik persaingan tradisi dan maruah yang sudah lama tersemat dalam sejarah bola sepak kedua-dua negara.
BACA LAGI: Piala Mandiri: Nafuzi, Harimau Muda perlu lulus 'ujian pertama' sebelum Kelayakan Piala Asia B-23
"Ini semua tentang harga diri. Rampas tiga mata daripada mereka. Ini tentang maruah bangsa," kata wakil La Grande menerusi video di laman TikTok yang dimuat naik oleh Menteri Bola.
Difahamkan, tiket perlawanan juga dilaporkan telah habis terjual, menandakan ribuan penyokong Garuda akan membanjiri Gelora Bung Karno untuk memberikan sorakan padu dalam usaha membenam cabaran Malaysia.
Dalam pada itu, pengendali Harimau Muda iaitu Nafuzi Zain juga tidak menafikan bahawa Indonesia pasukan pilihan dalam kejohanan berkenaan dan akan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan kemenangan.
"Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, bagi saya, Indonesia adalah antara pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan ini. Tetapi kami tahu kami tidak boleh berputus asa, kerana kami memerlukan kemenangan untuk layak ke separuh akhir.
"Kami mesti benar-benar bersedia untuk berdepan Indonesia, yang sangat kuat dan mempunyai skuad berkualiti, seperti yang telah kita lihat. Kami tidak akan mengalah dan akan melakukan segala yang kami mampu untuk memenangi perlawanan ini.
"Saya tahu penyokong mereka luar biasa, benar-benar fanatik. Pemain saya mesti bersedia, secara mental dan fizikal. Apa yang paling penting adalah kami bermain dengan keyakinan.
"Walaupun di hadapan ribuan penyokong yang menyokong Indonesia. Kami berharap dapat menyerap tekanan itu dan bermain mengikut perancangan kami," katanya.
Skuad muda negara di bawah kendalian Nafuzi tampil dengan misi hidup mati selepas kekalahan mengejut 1-0 kepada Filipina dalam aksi pembukaan. Selepas itu, bangkit mendapatkan tiga mata hasil menewaskan Brunei 7-1.
Kemenangan ke atas Indonesia menjadi satu-satunya jalan untuk Harimau Muda terus kekal dalam saingan dan membuka peluang mara ke separuh akhir, sama ada sebagai juara kumpulan atau salah satu naib juara terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram