Sabarlah semua, kejayaan bersama Terengganu-KDA FC buktikan Nafuzi ada magis tersendiri


  • Podium
  • Jumaat, 18 Jul 2025

Nafuzi perlu diberi masa untuk membawa perubahan besar terhadap pasukan muda negara. — Facebook/Malaysia NT

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan memulakan kempen Piala AFF B-23 dengan langkah kiri selepas tewas 0-2 kepada Filipina dalam aksi yang berlangsung pada Selasa.

Kejohanan yang diadakan di Indonesia itu sepatutnya menjadi penanda aras buat ketua jurulatih, Nafuzi Zain memandangkan ia merupakan tugasan pertamanya bersama pasukan muda negara.

Namun, disebabkan kealpaan sendiri, Harimau Muda gagal meraih sebarang mata dalam perlawanan pertama yang pastinya akan menyukarkan hasrat melangkah ke peringkat lebih jauh.

BACA LAGI: Piala Mandiri: Nafuzi, Harimau Muda perlu lulus 'ujian pertama' sebelum Kelayakan Piala Asia B-23

BACA LAGI: Rahmat buat Nafuzi, 3 bintang B-23 termasuk Ubaidullah ada pengalaman bersama Harimau Malaya

Perjalanan skuad B-23 negara dalam Piala Mandiri dimulakan dengan langkah kiri. Facebook/Malaysia NT

Tidak terhenti di situ, kekalahan berkenaan menyaksikan orang ramai mula mempertikaikan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melantik pengendali berusia 46 tahun itu.

Ini kerana meskipun diberikan skuad terbaik melihat kepada pemain dipanggil, Nafuzi masih gagal memberi keputusan diharapkan dengan gaya permainan menarik sahaja tidak mencukupi.

Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak sepatutnya menjadi kayu ukur buat peminat bola sepak negara untuk menilai kebolehan jurulatih kelahiran Kelantan itu.

Hal tersebut kerana sepanjang kariernya dalam dunia kejurulatihan, Nafuzi pernah merekodkan tiga pencapaian yang membuktikan dirinya sebagai antara pengendali lokal terbaik ketika ini.

1. Pasukan pertama tundukkan JDT di Stadium Sultan Ibrahim

Sehingga hari ini, Stadium Sultan Ibrahim yang menjadi gelanggang utama Johor Darul Ta'zim (JDT) sejak 2021 dengan kelab tersebut jarang sekali berputih mata di venue terbabit.

Oleh itu, setiap kekalahan dialami skuad Harimau Selatan di stadium terbabit sudah tentu sukar dilupakan, lebih-lebih lagi buat mana-mana pasukan tempatan yang berjaya berbuat demikian.

Kemenangan skuad Sang Penyu di Stadium Sultan Ibrahim akan terus diabadikan. Facebook/Terengganu FC

Jadi, itulah sebabnya kemenangan dilakar Terengganu FC dalam saingan Liga Super 2021 akan terus diabadikan dalam sejarah bola sepak negara.

Gol tunggal perlawanan dihasilkan Hakimi Abdullah dalam pertembungan tersebut menyaksikan JDT berputih mata buat kali pertama di laman sendiri hanya beberapa bulan selepas venue tersebut dirasmikan.

Kemenangan dicatatkan skuad Sang Penyu itu turut membuka mata orang ramai mengenai kebolehan dimiliki Nafuzi dengan kejayaan tersebut semakin sukar diraih hari ini.

2. Calarkan rentetan kemenangan JDT

Sekali lagi, Nafuzi menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Selatan dengan kali ini, jurulatih muda itu membuktikan kebolehannya bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Perkara tersebut disaksikan dalam saingan Liga Super 2023 ketika JDT mendominasi dengan tiada sebarang mata dicicirkan selepas 20 perlawanan, sekali gus memberi mereka ruang mencatatkan sejarah tersendiri.

Keputusan seri di Stadium Darul Aman menamatkan rentetan kemenangan JDT dalam Liga Super 2023. Facebook/KDA FC

Namun, dalam pertembungan di Stadium Darul Aman, skuad Sang Kenari tidak memberi laluan mudah buat pihak lawan apabila tuan rumah berada di depan pada separuh masa pertama hasil dua jaringan Ifedayo Olusegun.

Meskipun JDT memberi saingan pada babak kedua, anak-anak buah Nafuzi enggan membenarkan pasukan pelawat pulang dengan tiga mata penuh apabila menamatkan perlawanan dengan keputusan 3-3.

Aksi tersebut sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan gagal mencatatkan keputusan 100 peratus dalam Liga Super yang sememangnya diidamkan penyokong dan pihak pengurusan mereka.

3. Tamatkan penantian Terengganu ke pentas Asia

Walaupun tidak menjulang sebarang trofi sepanjang beberapa musim di Pantai Timur, Nafuzi masih berjaya membawa perubahan besar buat Terengganu FC.

Selain mengubah imej pasukan daripada kelab bawahan ke pencabar serius, pengendali tersebut turut meletakkan kembali pasukan tersebut ke peta peringkat antarabangsa.

Nafuzi akan dikenang sebagai antara jurulatih terbaik skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu 11

Kejayaan muncul naib juara Liga Super 2022 membolehkan pasukan itu melangkah ke Piala AFC pada musim berikutnya selepas kali terakhir berbuat demikian adalah 11 tahun sebelmnya.

Namun, disebabkan konflik politik di sebalik tabir, Nafuzi kemudian mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad Sang Penyu pada penghujung musim dan berkelana ke Utara tanah air.

Meskipun memilih untuk berbuat demikian, legasi ditinggalkan jurulatih tersebut cukup diingati sehingga hari ini kerana Terengganu FC tidak lagi konsisten dalam dua musim kebelakangan ini.

Selepas dijinakkan Filipina, anak-anak buah Nafuzi akan menyambung cabaran Piala AFF B-23 berdepan Brunei pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram