[VIDEO] Perancangan gugurkan 3 tonggak tampak menjadi buat Nafuzi, tak mustahil diulang berdepan Indonesia


  • Podium
  • Ahad, 20 Jul 2025

Malaysia menghidupkan peluang ke separuh akhir Piala Mandiri B-23 Asean selepas membelasah Brunei 7-1 pada Jumaat. — Facebook/Malaysia NT

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan Piala Mandiri B-23 Asean 2025 apabila berhasil memalukan Brunei dengan keputusan 7-1 pada Jumaat.

Tiga mata dikutip itu kembali membuka peluang Harimau Muda untuk ke peringkat kalah mati selepas membuka kempen dengan kekalahan 0-2 kepada Filipina.

Lebih menarik lagi, kemenangan itu dilakar selepas pengendali pasukan, Nafuzi Zain membuat pertukaran besar kepada pasukan yang jelas membuahkan hasil.

BACA LAGI: 'Beza bagai langit dan bumi', sukarnya Top 5 Liga Super 'baham' kelab bawahan luar negara

BACA LAGI: Persaingan sengit di Brunei, Syafiq Ahmad berdepan 'ancaman' penyerang muda Indonesia

Selain menerapkan permainan lebih terbuka dan menyerang, bekas jurulatih Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC itu turut melakukan perubahan terhadap barisan pemain diturunkan berbanding dalam aksi pembukaan menentang Filipina.

Malah, pendekatan berisiko turut diambil apabila dia menggugurkan beberapa pemain utama yang sepatutnya menjadi nadi utama pasukan.

Melihat kepada kesebelasan utama itu, Nafuzi memilih untuk tidak menurunkan tiga pemain utama dengan ada daripadanya hanya dimasukkan pada babak kedua permainan.

1. Fergus Tierney

Ramai seperti tidak menyedari Fergus Tierney baru sahaja berusia 22 tahun kerana pemain tersebut kelihatan cukup berpengalaman di peringkat kelab dan antarabangsa.

Ini kerana selain pernah beraksi dalam skuad B-23 kebangsaan, dia juga sudah mencatat kaps bersama pasukan senior yang menjadikannya aset utama dalam pasukan bimbingan Nafuzi kali ini.

Namun, pada perlawanan pertama berdepan Filipina, Fergus seperti buntu dalam mencipta peluang buat rakan sepasukan apatah lagi menyudahkan umpanan diterima di hadapan gawang lawan.

Persembahan kurang memberangsangkan itu menyaksikan pemain tersebut digugurkan ketika berdepan Brunei bagi memberi laluan buat rakan sepasukannya yang jelas membuahkan hasil.

Namun, terdapat juga kemungkinan Nafuzi perlu menggugurkan ‘ubi muda’ Sabah FC itu kerana aksi selepas ini menentang Indonesia adalah lebih sukar, sekali gus keputusan itu dibuat bagi memastikan penyerang tersebut dalam keadaan terbaik.

2. Aliff Izwan Yuslan

Selepas berkali-kali beraksi dalam pasukan senior Selangor FC, Aliff Izwan Yuslan menjadi antara tonggak utama Harimau Muda dalam perlawanan pertama dengan harapan lebih banyak gol dapat dihasilkan.

Namun, seperti mana dilema dialami Fergus, bintang muda Gergasi Merah itu juga bergelut untuk menampilkan impak terbaik apabila pasukan kendalian Nafuzi gagal menembusi benteng lawan.

Oleh itu, bagi memastikan jentera serangan skuad B-23 tanah air kembali tajam, pemain Selangor FC itu digugurkan ketika bertemu Filipina dengan rakan sepasukannya di kelab, Nabil Qayyum diletakkan sebagai penyerang sayap kiri.

Alif Izwan (kanan) antara nadi utama pasukan yang tidak diturunkan bertemu Brunei. — FAM

Pendekatan berisiko itu sememangnya membuahkan hasil kerana bukan sahaja Harimau Muda dapat mencetak tujuh gol, malah kelincahan di hadapan pintu gawang lawan sememangnya sukar diasak pemain Brunei.

Namun, Aliff Izwan tidak perlu begitu kecewa kerana dia masih boleh merekodkan minit permainan dalam saingan Piala Mandiri apabila mereka akan menentang Indonesia yang merupakan aksi 'wajib menang’ buat pasukan negara.

3. Muhammad Abu Khalil

Meskipun masih belum menembusi skuad utama Gergasi Merah, Muhammad Abu Khalil memiliki pengalaman cukup baik dalam kariernya setakat ini apabila pernah beraksi secara pinjaman di Thailand.

Pemain tengah itu bagaimanapun gagal menampilkan kawalan seperti mana diharapkan ketika berdepan Filipina yang kemudian menyaksikan gawang Harimau Muda ditembusi sebanyak dua kali.

Oleh itu, Nafuzi memilih untuk meletakkan Danish Hakimi Sahaludin di posisi tersebut yang jelas membuahkan hasil kerana cengkaman dan kawalan lebih baik berjaya ditampilkan sepanjang 90 minit permainan.

Persembahan cemerlang Danish Hakimi sudah tentu menyukarkan Muhammad (kanan) untuk kembali ke dalam kesebelasan utama. — FAM

Tidak cukup dengan itu, ‘ubi muda’ Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga sempat meledak satu daripada tujuh gol yang menyerlahkan lagi potensi dan bakat dimilikinya meskipun namanya jarang disebut-sebut.

Persembahan cemerlang Danish Hakimi sudah tentu menyukarkan Muhammad untuk kembali ke dalam kesebelasan utama ketika berdepan Indonesia meskipun Nafuzi dijangka menerapkan gaya permainan lebih bertahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram