Jadikan ibu sumber kekuatan, bintang JDT tekad bantu Harimau Muda dalam Kelayakan Piala Asia B-23 2025


  • Podium
  • Selasa, 22 Jul 2025

Danish Hakimi dedikasikan golnya dengan mengangkat tulisan 'Ibu' di pergelangan tangannya. — Facebook

HARAPAN skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan untuk melangkah ke separuh akhir Piala Mandiri B-23 Asean 2025 musnah selepas seri tanpa jaringan menentang Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A pada Isnin.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia, Malaysia yang wajib menang besar tanpa bolos gagal memecah kebuntuan di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.

Sebaliknya, Indonesia hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan slot ke peringkat seterusnya.

BACA LAGI: 'Kpah Sherman bukti import terpakai masih relevan', Pak Ngah dijangka jadi percaturan terbaik Aidil Sharin

BACA LAGI: Kelab Lembah Klang terus berbelanja, striker dilupakan JDT antara 3 nama sedang dipantau

Malaysia sebelum ini tewas 0-2 kepada Filipina dalam aksi pembukaan, namun bangkit membelasah Brunei 7-1 dalam perlawanan kedua.

Di sebalik kegagalan mara ke separuh akhir, perhatian peminat bola sepak tempatan tertumpu kepada pemain tengah muda berbakat, Danish Hakimi Salahadin, yang tidak hanya cemerlang di atas padang, malah menyentuh hati ramai dengan kisah peribadinya.

Danish, 20, yang beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT III), mencuri tumpuan apabila dilihat memakai pita selofan di pergelangan tangan kirinya yang tertulis perkataan ‘Ibu’, satu penghargaan buat ibunya yang telah meninggal dunia lima tahun lalu.

Tindakan simbolik itu bukanlah asing bagi penyokong JDT kerana Danish kerap melakukannya dalam setiap perlawanan bersama Harimau Selatan dan terus membawa tradisi tersebut ke pentas antarabangsa.

Momen paling menyentuh berlaku ketika perlawanan menentang Brunei, apabila selepas menjaringkan salah satu daripada dua golnya, Danish mengangkat tangannya ke arah kamera untuk menunjukkan tulisan ‘Ibu’, satu dedikasi penuh emosi yang menyentuh hati ramai.

Perkara itu turut dikongsi oleh pemerhati sukan tempatan, Zulhelmi Zainal Azam di laman X pada Selasa.

"Ibu...sumber kekuatan yang tak pernah padam, Danish Hakimi tekad bangkit dalam kempen kelayakan Piala Asia B-23," katanya.

Walaupun kempen di Piala Mandiri berakhir dengan kekecewaan, semangat Danish tidak luntur.

Pemain berketinggian 1.80 meter itu kini menumpukan sepenuh perhatian kepada misi seterusnya iaitu membantu skuad Harimau Muda melakar kejayaan dalam Kelayakan Piala Asia Bawah-23 2025.

Malaysia telah diundi dalam Kumpulan F bersama Thailand, Lubnan dan Mongolia bagi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung bermula 1 hingga 9 September ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram