[VIDEO] Hanya dibezakan 0.13s, Azeem Fahmi terlepas podium 100m WUG 2025


  • Podium
  • Rabu, 23 Jul 2025

Azeem mencatatkan peningkatan dari segi persembahan dalam tiga catatan masanya dalam saingan WUG2025.

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terlepas peluang membawa pulang pingat dalam acara akhir 100 meter (m) lelaki Sukan Universiti Dunia (WUG) setelah menamatkan larian di tempat keempat.

Dalam perlumbaan yang berlangsung pada Rabu, atlet berusia 21 tahun itu memerlukan 10.35 saat (s) untuk tiba di garisan penamat, hanya dibezakan 0.13s berbanding pemenang pingat gangsa, Hiroki Yanagita (10.23s).

Pingat emas dalam acara itu menjadi milik pelari Afrika Selatan, Bayanda Joy Walaza dengan masa 10.16s sementara Puripol Boonson dari Thailand meraih gangsa menerusi catatan 10.22s.

BACA LAGI: SUKIPT: UPSI sasar 6 pingat emas olahraga, letakkan UPM pencabar utama

BACA LAGI: Pilih fokus karier, kekangan kelengkapan antara punca olahraga SUKIPT, MASUM tinggalkan dunia sukan

Masa yang dicatatkan atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu jauh daripada masa terbaiknya musim ini iaitu 10.20s, namun dia mempamerkan peningkatan dalam tiga catatan masanya dalam saingan WUG 2025.

Terdahulu, penuntut Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) itu layak ke final selepas menamatkan saringan tiga separuh akhir dengan catatan 10.43s dan memenangi peringkat saringan awal dengan catatan 10.57s.

Seterusnya, pelumba berusia 22 tahun itu akan membawa cabaran negara dalam acara 200m pada Rabu malam selain turut beraksi dalam acara 4x100m yang bermula pada Sabtu ini.

Sementara itu, jaguh 400m negara, Umar Osman gagal melangkah ke final selepas menamatkan saringan dua separuh akhir 400m di tempat keenam dengan catatan 47.10s. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram