
PERJALANAN skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) negara dalam saingan Piala Asean B-23 2025 terhenti selepas Malaysia sekadar mendapat keputusan seri 0-0 dalam aksi menentang Indonesia pada Isnin.
Pada aksi terakhir Kumpulan A itu, skuad negara perlukan kemenangan minimum 3-0 ke atas skuad Garuda Muda di gelanggang keramat tuan rumah, Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia untuk mencerahkan peluang ke peringkat kalah mati.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad negara gagal selepas mengutip empat mata manakala Filipina di kedudukan kedua Kumpulan A dengan enam mata selepas menewaskan Brunei 2-0. Indonesia pula kekal dengan status juara kumpulan dengan tujuh mata.
BACA LAGI: Piala Mandiri: Nafuzi, Harimau Muda perlu lulus 'ujian pertama' sebelum Kelayakan Piala Asia B-23
BACA LAGI: Rahmat buat Nafuzi, 3 bintang B-23 termasuk Ubaidullah ada pengalaman bersama Harimau Malaya
Selain aksi tanpa jaringan berkenaan, sorotan media dan penyokong khususnya pengikut bola sepak negara jiran lebih terarah kepada isu yang mencetuskan perdebatan hangat iaitu usia sebenar pemain tengah Malaysia, Aysar Hadi.
Meskipun tidak mencetuskan sebarang kontroversi menerusi aksinya di atas padang, penampilan fizikal pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) itu menjadi buah mulut peminat bola sepak serantau.
Dengan misai yang ketara dan rambut yang kelihatan menipis di bahagian hadapan, sebahagian pihak mengganggap Aysar tampak lebih tua daripada had umur yang dibenarkan untuk kejohanan tersebut.
Rekod rasmi yang diperoleh daripada laman statistik bola sepak iaitu Transfermarkt menyatakan bahawa Aysar dilahirkan pada 4 September 2003, menjadikan dia berumur 21 tahun dan sekali gus layak beraksi dalam kejohanan B-23.
Ini bukan kali pertama media Indonesia dan penyokong skuad Garuda mempersoalkan usia Aysar berikutan mereka pernah mempersoalkannya pada 2022, ketika Kejohanan AFF B-19 di Indonesia.
Ketika kejohanan berkenaan,media Vietnam seperti The Thao 247 secara terbuka mempersoalkan kesahihan umur Aysar selepas Malaysia menewaskan Vietnam di peringkat separuh akhir.
Rupa Aysar sekali lagi menjadi sorotan media Indonesia.
Malaysia seterusnya menjuarai kejohanan tersebut dan Aysar dinamakan sebagai pemain terbaik, yang hanya menambah lagi kecurigaan dalam kalangan pihak luar.
Walaupun tiada bukti kukuh dikemukakan untuk memeriksa semula rekod kelahiran Aysar, spekulasi dan teori konspirasi terus berlegar dalam kalangan peminat bola sepak Asia Tenggara.
Setakat ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun Aysar sendiri masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram