[VIDEO] 'Simpan tenaga', Azeem Fahmi bergaya melangkah ke separuh akhir WUG di Jerman


  • Podium
  • Selasa, 22 Jul 2025

Azeem hanya memerlukan 10.57 saat untuk menamatkan perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan hujan dan berangin.

KARIER jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dilihat berada di landasan terbaik selepas mengesahkan tiket ke separuh akhir acara 100 meter (m) lelaki pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) di Lohrheidestadion, Bochum, Jerman pada Selasa.

Pada aksi saringan ketujuh pusingan pertama yang berlangsung dalam keadaan hujan dan berangin, Azeem tenang mengungguli perlumbaan dengan catatan masa 10.57 saat.

Kejayaan tersebut menyaksikan atlet berusia 22 itu menewaskan Joeljin Nwamadi dari Korea Selatan (10.61s) dan pelari Kanada, Nikolaos Dowhos (10.72s).

BACA LAGI: 'Ratu Pecut in the making', Nur Alferra catat rekod baharu 100m MSS Sabah

BACA LAGI: [VIDEO] Sabah Speed Queen terus garang, rangkul emas di Thailand

"Sebenarnya banyak lagi tenaga yang saya simpan sebab saya tahu esok ada dua pertandingan (separuh akhir dan akhir). Hari ini rancangan saya adalah menghabiskan larian dengan baik, tanpa kecederaan.

"Alhamdulillah semua berjalan lancar, fokus sekarang kekalkan kecergasan dan semangat yang ada, tadi sedikit terganggu dengan pertandingan ditangguhkan, hujan dan angin yang kuat tetapi ia bukan alasan," katanya.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu menjadi wakil tunggal negara yang mara apabila rakan sepasukan, Aliff Iman Mohd Fahmi mengakhiri saringan lima di tempat kelima dengan masa 11.09s.

Azeem yang juga merupakan penuntut Universiti Auburn, Amerika Syarikat itu akan turun beraksi pada separuh akhir awal pagi Rabu dalam misi merebut tempat ke pusingan akhir yang akan diadakan pada hari sama.

Umar turut menampilkan aksi cukup baik apabila layak ke separuh akhir acara 400m 

Dalam pada itu, jaguh 400m Asia Tenggara, Umar Osman turut menceriakan kem olahraga negara apabila layak ke separuh akhir setelah muncul tiga pelari terpantas dalam kalangan bukan tiga pelumba pertama setiap saringan yang layak secara automatik.

Turun beraksi dalam pusingan pertama saringan empat, pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 itu menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 46.97s.

Tempat pertama milik pelari Ireland, Jack Raftery dengan masa 46.39s, diikuti Matej Krsek dari Republik Czech (46.48s) dan atlet Malta, Matthew Galea Soler (46.82s). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram