
PELARI pecut negara, Azeem Fahmi tidak berpeluang ke pentas akhir saingan 60 meter (m) tidak kesampaian, selepas menamatkan saingan di tempat ketujuh Kejohanan Akhir Olahraga Dalam Dewan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
Menurut laman sesawang kejohanan, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2024 yang mewakili Universiti Auburn itu menamatkan saingan saringan kedua pusingan awal dengan catatan masa yang sama, sekali gus berada di kedudukan ke-13 daripada 16 pelumba keseluruhan.
Bagaimanapun, hanya lapan pelumba terbaik daripada dua saringan yang layak ke pusingan akhir dengan ia dijadualkan berlangsung pada Sabtu waktu tempatan (Ahad waktu Malaysia).
BACA LAGI: Azeem Fahmi pecah rekod kebangsaan, catat 6.60 saat acara 60 meter di AS
BACA LAGI: Stail rambut baharu tak membantu, Azeem Fahmi gagal ke final acara riben biru Olimpik
Tidak ingin terus dibuai dengan kekecewaan daripada kejohanan berkenaan, pelari kelahiran Teluk Intan, Perak tersebut berkongsi mahu mengalihkan fokusnya kepada acara luar dewan pula.
"Acara dalam dewan adalah menyeronokkan. Bersyukur atas segala peluang dan rezeki yang datang sepanjang musim dalam dewan ini. Alhamdulillah. Sekarang masa untuk perkara yang sebenar. Acara luar dewan," katanya memetik Insta Story miliknya pada Sabtu.
Tangkap layar hantaran dari Azeem.
Sebelum ini, pelumba berusia 20 tahun itu kembali dengan prestasi terbaik apabila memadam rekod 60m kebangsaan dengan catatan 6.56s ketika merangkul pingat gangsa Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025 pada awal bulan ini.
Catatan itu memadam rekod lama miliknya, 6.60s yang dilakukan dalam tempoh kurang sebulan di Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Universiti Clemson, California, AS sekali gus meletakkan dirinya dalam kelompok 10 pelari terbaik Universiti Auburn.
Pencapaian terbaharu itu sekali gus menjadi pendorong besar buatnya untuk musim yang padat, termasuk Kejohanan Trek dan Padang Gumi di Korea Selatan, Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo dan Sukan SEA di Thailand akhir tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram